PENDAHULUAN
Bismillahirahmanirrahim.
Dimulai penulisan ini dengan menyebut nama Allah, semoga dengan namaNya,
dipenuhi berkah segala sesuatu yang kita lakukan. Kertas kerja ini hanyalah
hasil tangan seorang hamba yang berusaha menjadi yang terbaik. Mohon ditegur
sekiranya mempunyai kesilapan. Akhlak Rasulullah SAW dimaklumi muslim di seantero
dunia adalah sebaik-baik contoh akhlak yang harus diikuti. Ini kerana akhlak
Rasulullah SAW merangkumi segala aspek kehidupan, daripada akhlak dengan Allah
sehinggalah akhlak sesama makhluk lain. Kita maklum Rasulullah adalah manusia
teragung dan pembawa suruhan Allah yang patut disanjungi. Tetapi, sejak dunia
kita mengalami perubahan drastik terutamanya dari segi ideologi dan kemunculan
isme-isme yang berbahaya, maka tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadap junjungan
Rasulullah SAW menjadi semakin berleluasa dan merebak seperti cendawan selepas
hujan. Antara kejadian yang sangat menyedihkan dunia Islam ialah ketika Nabi
Muhammad SAW dijadikan bahan lelucon, dilukis di atas sebuah kertas sebagai
kartun, disamakan dengan karakter-karakter yang lain. Mereka menganggap ini
hanyalah sebagai gurauan semata-mata. Mujurlah dunia Islam ketika itu tidak
tidur dan bangkit menegur dan meminta agar kartunis yang melukis dan sekaligus
menghina Nabi SAW itu dijatuhkan hukuman yang setimpal.
Tuduhan-tuduhan palsu musuh Islam sudah tidak asing lagi bagi seseorang yang cakna dengan kemaslahatan Islam dan umatnya. Ia bahkan telah wujud ketika Rasulullah SAW masih hidup lagi, setelah kewafatan Baginda sehinggalah ke hari ini. Dewasakini malah menggunakan nama sains atau dengan pendekatan psikologi barat yang semestinya tidak mengikut acuan Islam itu sendiri. Sesukanya mereka menuduh itu ini, walhal kita umat Islam sendiri sangat berhati-hati dalam hal melibatkan junjungan Nabi Muhammad SAW. Ulama’-ulama’ contohnya sangat teliti dan tertib dalam penyusunan disiplin ilmu ataupun sumber seperti Hadith kerana ianya berkait langsung dengan kekasih Allah. Seperti kisahnya Imam Bukhari ketika menyusun hadith dalam Sahih Bukhari, di mana beliau akan solat sunat dua rakaat sebelum menulis hadis seterusnya, dengan memohon petunjuk Allah semoga benarlah tulisannya ini dan dapat memberi manfaat kepada umat manusia ketika itu dan di kemudian hari (Talib, 2015). Wallahu ta‘ala ‘alam.
TUDUHAN-TUDUHAN TERHADAP RASULULLAH SAW
KEJAM (Brutally cruel)
Kejam
ialah satu perbuatan jahat yang melibatkan orang lain tanpa memperdulikan atau
kisah tentang keadaan orang yang terlibat tersebut. Satu teori yang diterima
pakai oleh kebanyakan para ahli psikiatri hari ini ialah orang akan menjadi
kejam apabila dalam otaknya, bahagian yang mengawal tentang empati itu tidak
berfungsi, atau dikenali dengan nama empathy erosion (Maguire, 2018). Kekejaman orang dewasa biasanya
dikaitkan dengan zaman kanak-kanaknya yang selalu didera sehingga mengalami
trauma. Kekejaman ini kemudian turun dan melekat pula pada diri kanak-kanak
yang didera tersebut. Kekejaman Rasulullah pada pandangan mereka adalah
berpunca daripada kekejaman bangsa Arab itu sendiri, yang hidup mereka seperti
orang gasar dan tamak harta sehingga sanggup membunuh kabilah-kabilah lainnya
demi harta. (Hourani, 1991) Rasulullah dituduh pada permulaannya adalah seorang
baik tetapi mula berubah rupa setelah memegang kuasa dan empayar Islam mula
berubah. Beberapa tuduhan yang diambil daripada sumber Islam itu sendiri yang
autentik tetapi diubah maknanya sesuka hati mereka. Wood (2016) dalam
penulisannya ini mula-mula bercerita tentang filem tetapi kemudian
mengaitkannya dengan Islam dan Nabi Muhammad SAW. Bagaimana umat Islam kononnya
terlalu menyanjung Baginda sehingga segala keburukan baginda yang lain
disembunyikan, walhal baginda juga manusia biasa.
Kekejaman
Rasulullah daripada pandangan barat selalunya berkaitan dengan peperangan, di
mana baginda selalu dituduh sewenang-wenangnya membunuh sesiapa sahaja bahkan
menyuruh askar-askar Islam untuk merogol perempuan-perempuan tawanan perang
termasuklah kanak-kanak perempuan. Penulis menulis tanpa ada sumber atau
sandaran yang kukuh yang tidak boleh dipercayai, ataupun menyandarkan kepada
sumber Islam tetapi memutarbelit fakta yang sebenarnya. Penulis bahkan menuduh
Rasulullah mengagih-agihkan harta rampasan termasuklah wanita tawanan perang
kepada para sahabat dan mengambil bahagian yang paling banyak untuk baginda
sendiri (Wood, 2016). Walhal, Rasulullah SAW selalu melebihkan para sahabat dan
tidak pernah tidak adil dalam menangani hal-hal berkenaan ganimah, sehingga
ketika Rasulullah wafat, baginda hanya meninggalkan 7 dinar yang kemudian
disedekahkan juga oleh Fatimah ra kepada fakir miskin (Ramli, 2012). Mereka menulis
tentang Rasulullah tanpa mengetahui asal-usul cerita dan hanya melihat dari
satu sudut sahaja. Dan, lebih penting lagi, mereka tidak mempunyai mata hati
yang murni untuk melihat perkara ini.
Seperti halnya
ketika penulis Michael H Hart meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai orang paling
berpengaruh dalam sejarah manusia dalam buku beliau, The 100 Most Influential
Persons in History dan mendapat respon dan kritik yang tidak baik terutamanya
daripada pihak barat yang mempersoalkan kedudukan Nabi Muhammad SAW dalam
senarai tersebut. Cetakan pertama pada tahun 1978, buku ini telahpun menerima
banyak kritikan tidak kira daripada orang awam ataupun tokoh-tokoh akademik, di
mana penulis, Hart sendiri kemudian menjawab di buku cetakan kedua beliau
dengan berkata, ‘Sekiranya ada lagi lelaki lain di dunia ini yang berjaya
memimpin satu tamadun yang muncul dari tengah-tengah padang pasir dan meluaskan
empayarnya tidak kira dari aspek keagamaan, kepimpinan atau ketenteraan, maka
beritahu saya dan saya akan tukar senarai ini semula’ (Hart, 1992). Hart yang mengkaji dan tidak biased dalam
penulisannya ini dikecam ramai kerana stereotaip masyarakat dunia terhadap Nabi
Muhammad SAW.
Mengapa Nabi tidak
pernah berperang ketika masih di Makkah? Adakah kerana ketika itu empayarnya
belum luas dan kekejaman kuku besi belum sesuai dilaksanakan? Tidak sama
sekali. Rasulullah SAW risau dengan keadaan muslim ketika itu, yang masih
sedikit dan masih ramai yang belum teguh benar imannya. Sekiranya mereka
melawan dan tercetusnya perang, Islam pasti akan lenyap daripada muka bumi.
Inilah hikmah yang diberikan oleh Allah, bersabar dan Allah akan memberikan
jalan penyelesaian yang terbaik.
وَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَٱهْجُرْهُمْ هَجْرًا جَمِيلًا
“dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang
menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.”
(Al-Muzammil : 10)
Nabi Muhammad SAW patuh dengan perintah Allah dan demi menjaga
risalah dakwah yang masih hijau dalam perjalanan yang masih jauh. Hanya ketika
empayar Islam mula melebar dan menjadi kuat, barulah Allah mengarahkan supaya
Rasulullah SAW memimpin kaum muslimin untuk mengetuai peperangan melawan kaum
musyrikin.
كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ
لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًٔا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ
أَن تُحِبُّوا۟ شَيْـًٔا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا
تَعْلَمُونَ
“Telah diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah
sesuatu yang kamu benci. Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal sesuatu
itu baik bagimu. Dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal sesuatu
itu buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah:
216)
Rasulullah juga
tidak pernah memberi contoh yang tidak baik, walau di medan peperangan
sekalipun. Baginda adalah panglima perang setiap peperangan yang baginda ikuti,
dan merupakan orang yang paling hadapan saat peperangan. Saidina Ali ra pernah
berkata, ‘Rasulullah itu paling hadapan ketika peperangan, padahal kami risau
sekiranya baginda terkena lembing atau panah, tetapi baginda tidak pernah
mundur sama sekali’ (Omar, 2017). Sekiranya peperangan boleh dielakkan,
Rasulullah lebih suka untuk menyelesaikan masalah dengan aman dan tanpa
pertumpahan darah, tetapi baginda diarahkan untuk melawan sekiranya pihak musuh
enggan untuk menggunakan jalan diplomatik. Apabila itu terjadi, barulah
Rasulullah mempersiapkan angkatan tentera kaum muslimin.
Salah satu cerita
yang selalu juga dicanang musuh Islam ialah seorang musyrikin Quraisy yang
dibunuh oleh Rasulullah, walhal mereka tidak mengetahui keseluruhan kisah ini.
Ubay bin Khalaf setiap kali melihat Rasulullah pasti akan mengejek dan mencerca
Rasulullah, bahkan mengugut untuk membunuh Rasulullah, tetapi Rasulullah menjawab,
‘bahkan aku yang akan membunuhmu’. Ubay tidak meninggal di medan peperangan
tetapi meninggal dalam perjalanan kembali ke Makkah (Mohd Suki, 2017). Seperti
kisah peperangan di atas, Rasulullah tidak akan melakukan sesuatu melainkan
untuk menjaga nama baik Islam. Baginda bahkan tidak pernah marah sekiranya hal
melibatkan diri baginda tetapi akan marah sekiranya melibatkan maruah Islam dan
kemurnian dakwah tauhid yang dibawanya. Begitu tingginya akhlak Rasulullah yang
dikatakan sangat kejam dari kaca mata barat.
Karen Armstrong
adalah salah seorang lagi penulis bukan Islam yang jujur menulis tentang Nabi
Muhammad SAW, semoga Allah memberinya hidayah untuk masuk Islam. Armstrong
telah menulis banyak buku berkenaan Nabi Muhammad, Islam dan agama-agama di
dunia ini. Beliau juga menulis bahawa Muhammad adalah nabi untuk umat zaman ini
(Armstrong, 2007). Dalam penulisan beliau, beliau memasukkan bukti-bukti
penjelasan daripada al-Quran dan al-Sunnah untuk menyokong hujah-hujah beliau
tentang peribadi sebenar Nabi Muhammad SAW sekaligus menyangkal sangkaan dan
tuduhan tidak berasas sesetengah pihak yang ingin memburukkan Islam dan
Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW adalah sebaik-baik insan yang patut dicontohi, dan bukan seorang yang kejam, seperti yang digembar-gemburkan oleh media barat. Rasulullah SAW melarang untuk membunuh orang tua, wanita dan kanak-kanak dalam peperangan. Bahkan, kelembutan hati baginda dapat dilihat apabila baginda bersetuju dengan pendapat Saidina Abu Bakar tentang apa yang patut dilakukan terhadap tawanan perang Badar. Saidina Umar menyarankan agar mereka dibunuh, tetapi Saidina Abu Bakar menyarankan supaya sesiapa yang pandai membaca dan menulis untuk mengajar anak-anak kaum muslimin seramai 10 orang, kemudian dilepaskan. Cadangan ini dipersetujui oleh Rasulullah SAW. Bukan hendak mengatakan Saidina Umar itu kejam, tetapi ketegasan Saidina Umar perlu ada dalam setiap hal dan kelembutan hati Rasulullah yang memilih yang mana yang lebih baik lagi. Wallahu ta‘ala ‘alam.
GILA (Crazy, Imaginative, Pretender, Impostor)
Gelaran ini telah wujud sejak zaman berzaman, tidak spesifik ketika
zaman Nabi Muhammad sahaja. Nabi-Nabi terdahulu juga digelar dan diejek sebagai
orang gila kerana dikatakan membawa sesuatu yang baru dan bertentangan dengan ajaran
nenek moyang mereka. Nabi Nuh as dan Nabi Luth as bahkan dikhianati oleh
isteri-isteri mereka yang mengikuti kaumnya dalam memperolok-olokkan suaminya
ketika menyampaikan dakwah yang benar (Katsir, 2019). Nabi Muhammad ketika
hidupnya lagi seringkali digelar orang gila sehingga setelah kewafatan baginda
pun, masih ada yang memanggil dengan gelaran tersebut. Khalifah-khalifah yang
memerintah setelah kewafatan baginda sangat tegas dalam mengendalikan hal ini,
demi menjaga nama baik Rasulullah SAW dan juga Islam yang baru mula berkembang
ketika itu. Kita bersyukur kerana hidup di dalam negara yang masih memelihara
Islam, di mana penghina Islam atau Rasulullah SAW akan dihukum dengan hukuman
yang setimpal. Di negara yang tidak kenal dengan Islam bahkan menghina
junjungan tersayang, Rasulullah SAW.
Antara tuduhan
orientalis ialah mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW hanyalah seorang lelaki
biasa yang berpura-pura menerima wahyu dan menyebarkannya kepada orang ramai.
Bahawa baginda hanyalah berkhayal menerima perintah dari Allah, dan itu
hanyalah mainan dalam benak baginda. Tuduhan ini kemudian menjadi semakin
ekstrem dengan mengatakan bahawa Nabi adalah seorang yang gila, sehingga boleh
memikirkan benda-benda sedemikian rupa. Nabi dikatakan pesakit neurotik yang
selalu mengalami epilepsi, merujuk kepada keadaan di mana Rasulullah SAW
berpeluh-peluh ketika menerima wahyu. Kondisi ini kononnya menjelaskan bahawa
baginda bukanlah seorang yang sihat sepenuhnya, walaupun pendapat ini
kemudiannya disangkal oleh kajian terbaru (Aziz, 2019).
Nabi juga dituduh
konon dahulunya adalah seorang paderi yang gagal dan berusaha menukar hala tuju
hidupnya dengan mengumpul serba-sedikit daripada agama-agama lain seperti
Kristian dan Yahudi yang kemudian digabung untuk menjadi ajaran baru yang
dibawanya iaitu Islam. Konon sebelum menjadi Nabi, baginda selalu berjumpa
dengan orang-orang Kristian yang tinggal di tanah Arab untuk bertanya tentang
kisah-kisah Nabi terdahulu. Ini adalah tuduhan yang timbul pada zaman gelap
Eropah, yang sedikit sebanyak mempengaruhi tuduhan yang masih wujud sehingga
hari ini. Tuduhan ini jugalah yang merebak dengan lebih luas dan perspektif
masyarakat ketika itu semakin teruk kerana Nabi dikatakan benci kepada Kristian
dan hendak memusnahkan agama tersebut dan menggantikannya dengan Islam, membuat
orang Kristian yang percaya dengan tomahan ini berkobar-kobar semangat mereka
untuk turut serta dalam Perang Salib seterusnya berakhir dengan siri kisah
peperangan yang sangat panjang dan berjuta-juta nyawa terkorban tidak kira dari
pihak Islam atau Kristian (Khan dan Mohammed Taleb, 2020).
Dalam gerakan
reformasi yang menentang gereja pada penghujung zaman gelap Eropah, ketua
mereka iaitu Martin Luther yang membenci Kristian Katolik turut melibatkan
Islam dan Nabi Muhammad SAW. Beliau mengatakan Nabi adalah anak pertama syaitan
dan agama Islam ini adalah sumpahan yang diturunkan oleh tuhan untuk
menghapuskan Kristian Katolik, dengan tujuan sebenarnya untuk mengkritik Pope
pada ketika itu, tetapi menggunakan Nabi sebagai perbandingannya. Ini sama
sekali tidak patut kerana seolah-olah menghina agama lain demi menjaga
agamanya, walhal Rasulullah SAW tidak pernah mengacau atau memaksa agama lain
untuk meninggalkan agama mereka, bahkan salah satu arahan Rasulullah ketika
pembukaan tanah jajahan yang baru ialah dilarang meruntuhkan biara atau
mana-mana rumah ibadat agama yang lain.
ٱلَّذِينَ
أُخْرِجُوا۟ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ
ۗ وَلَوْلَا دَفْعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَٰمِعُ
وَبِيَعٌ وَصَلَوَٰتٌ وَمَسَٰجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا ٱسْمُ ٱللَّهِ كَثِيرًا ۗ
وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِىٌّ عَزِيزٌ
“(iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka
tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata: "Tuhan kami
hanyalah Allah". Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian
manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara
Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang
di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang
yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha
Perkasa”. (Al-Hajj : 40)
Untuk menjawab
tuduhan-tuduhan yang mengatakan bahawa Rasulullah adalah seorang yang gila yang
membawa ajaran yang palsu hanyalah dengan memberi bukti bahawa Rasulullah
adalah sebenar-benar utusan Allah, insan yang dikurniakan tanggungjawab yang
sanggup dipikulnya, menerima wahyu dengan perantara Jibril as dan
menyampaikannya kepada seluruh umat manusia yang ditemuinya, yang berkekalan
sehingga hari ini. Seperti yang ditulis dalam buku Hart (1992), Muhammad SAW
satu-satunya lelaki dalam sejarah manusia yang mampu mencapai tahap sedemikian
rupa, bermula dari tamadun yang tiada apa-apanya, menaikkan tamadun tersebut
dengan nama agama tetapi dengan Rasulullah sebagai seorang pemimpin yang
terbaik tidak kira dalam bidang politik atau bidang ketenteraan, juga seorang
suami yang baik dan ayah yang penyayang.
Nabi Muhammad SAW
asalnya memang seorang yang sopan luhur budinya dan ditambah dengan teguran
Allah ketika dirinya tersalah, sememangnya meletakkan Nabi sebagai sebaik-baik
teladan.
وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَٰلَمِينَ
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat
bagi semesta alam”. (Al-Anbiya’ : 107)
Seperti sirah Nabi ketika Perjanjian Hudaibiyah yang dianggap berat
sebelah oleh pihak muslimin, tetapi Nabi tetap dengan keputusan untuk bersetuju
dengan perjanjian tersebut, yang mana membuahkan hikmah yang lagi besar iaitu
pembukaan Kota Makkah itu sendiri dan jatuhnya kunci pintu Kaabah ke tangan
Rasulullah SAW (Ramli, 2012). Sekiranya benar Nabi adalah seorang yang tidak
waras, mustahil Nabi akan mengambil keputusan yang mengambil kira seribu
langkah ke hadapan.
Begitu juga dengan kisah seorang yahudi yang
kencing di dalam masjid, yang kemudian ditempelak oleh sahabat yang hendak
memukul yahudi tersebut tetapi dihalang oleh Rasulullah. Ketika ditanya,
Rasulullah menjawab, ‘Sekiranya dia dipukul ketika dia sedang kencing, bukankah
kencingnya itu akan terpercik dan mengotori kawasan masjid yang lainnya.’ Dalam
kisah ini, selain berfikiran jauh, jiwa pemaaf Rasulullah itu juga terserlah,
di mana orang Yahudi itu kemudian menyesal dan akhirnya memeluk Islam
(Salahuddin). Rasulullah amat memikirkan tentang umatnya, sama ada di dunia ini
dan terutamanya di akhirat kelak. Seperti kisah ketika Nabi berdakwah di Taif
dan orang-orang di sana malah mengejek Nabi dan melempar batu ke muka Nabi
sehingga berdarah bibirnya, lalu Jibril bertanya, ‘Sekiranya engkau
mengkehendaki, dengan keizinan Allah, penduduk Taif akan timpakan dengan
bukit-bukit ini’, tetapi Rasulullah menjawab, ‘Sesungguhnya mereka tidak mengetahui!’.
(Ramli, 2012)
Sekiranya Rasulullah itu seperti manusia lain, sudah pasti baginda
akan bersetuju untuk menimpakan bala kepada penduduk Taif yang baru sahaja
melakukan kejahatan kepada baginda, tetapi tidak. Ini kerana Rasulullah adalah
pembawa risalah yang benar, yang dalam usahanya untuk membawa umat manusia ke
jalan yang benar, baginda tidak akan berputus asa walau seberat manapun dakwah
yang dipikulnya ini. Sebelum berhijrah ke Madinah, ketika kaum musyrikin
Quraisy mula bimbang dengan ajaran yang dibawanya ini, mereka cuba mengumpan
Muhammad dengan godaan harta benda dan wanita yang cantik, dengan syarat untuk
menghentikan dakwahnya ini.
عُتْبَةَ بْنِ
الْمُغِيرَةِ بْنِ الأَخْنَسِ ، أَنَّهُ حَدَّثَ أَنَّ قُرَيْشًا حِينَ قَالَتْ
لأَبِي طَالِبٍ هَذِهِ الْمَقَالَةَ بَعَثَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ لَهُ : يَا ابْنَ أَخِي ، إِنَّ قَوْمَكَ قَدْ
جاءُونِي ، فَقَالُوا كَذَا وَكَذَا فَأَبْقِ عَلَيَّ وَعَلَى نَفْسِكَ ، وَلا
تُحَمِّلْنِي مِنَ الأَمْرِ مَا لا أُطِيقُ أَنَا ، وَلا أَنْتَ ، فَاكْفُفْ عَنْ
قَوْمِكِ مَا يَكْرَهُوَنَ مِنْ قَوْلِكَ ، فَظَنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ قَدْ بَدَا لِعَمِّهِ فِيهِ ، وَأَنَّهُ
خَاذِلُهُ وَمُسْلِمُهُ وَضَعُفَ عَنِ الْقِيَامِ مَعَهُ ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " يَا عَمِّ ، لَوْ وُضِعَتِ الشَّمْسُ
فِي يَمِينِي وَالْقَمَرُ فِي يَسَارِي مَا تَرَكْتُ هَذَا الأَمْرَ حَتَّى
يُظْهِرَهُ اللَّهُ تَعَالَى أَوْ أَهْلِكَ فِي طَلَبِهِ
Abu Thalib berkata kepada Nabi SAW,
“Wahai anak saudaraku, sesungguhnya kaummu telah datang menemuiku dan mereka
berkata ini dan itu, maka kasihanilah dirimu dan diriku dan jangan membebaniku
dengan urusan yang tidak mampu dipikul olehku dan olehmu. Maka jauhilah mereka
dari perkataan yang dapat menyakiti mereka.” Kata-kata itu telah membuat
Rasulullah SAW mengira bahawa bapa saudaranya akan meninggalkannya, tidak
memberi perlindungan lagi dalam menjalankan usaha dakwah, rela menyerahkannya
dan tidak mampu lagi untuk berdiri di pihaknya. Rasulullah SAW bersabda, “Wahai
bapa saudaraku, seandainya matahari diletakkan di tangan kananku dan bulan di
tangan kiriku, sekali-kali aku tidak akan meninggalkan usaha dakwah ini hingga
Allah memenangkannya atau aku binasa dalam perjuangan itu.” (HR Baihaqi)
Jika benarlah Nabi itu seorang yang gila seperti tuduhan-tuduhan
musuh Islam, adakah Nabi akan menolak tawaran seperti ini demi keberlangsungan
dakwahnya. Orang gila mana yang menolak sekiranya diberi makanan atau harta.
Orang waras sekalipun berfikir sekiranya berada di posisi Nabi ketika itu.
Namun, Nabi sebagai seorang Rasul yang sebenar hanya memikirkan bagaimana untuk
menyebarkan lagi dakwah sehingga umat manusia sedar akan kebenaran yang hakiki.
Oleh kerana itu, sebaik-baik contoh akhlak ialah akhlak Nabi Muhammad SAW.
Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah ra mengenai akhlak Rasulullah SAW. Aisyah menjawab, “Akhlak Nabi SAW adalah al-Quran.” (HR Muslim)
PEDOFIL (Pedophile)
Salah satu isu terbesar yang seringkali dikaitkan dengan Nabi ialah
isu perkahwinan baginda dengan Saidatina Aisyah ra, ini kerana Aisyah baru
berumur 6 tahun ketika dipinang dan berumur 9 tahun ketika mula tinggal bersama
Rasulullah SAW. Kisah inilah yang membuat dunia barat sesuka hati memanggil
Rasulullah seorang pedofil. Seorang wanita Austria yang memanggil Nabi dengan
gelaran ini mempertahankan diri dengan mengatakan itu adalah haknya untuk
berbicara apa yang diingininya, bukan dengan niat menghina Nabi, walhal dengan
terang-terangan dia mengatakan Nabi adalah seorang pedofil (Brennan, 2018).
Wanita itu kemudian dikenakan hukuman atas perbuatan tersebut, tetapi terdapat
ramai orang yang berada di pihak wanita tersebut, tidak kira dengan alasan hak
sama rata untuk bersuara atau bersetuju dengan pendapat wanita tersebut tentang
Nabi adalah seorang pedofil.
Menurut satu
kajian, pedofil adalah seseorang yang keinginan seksnya songsang iaitu tidak
selari dengan seks kebanyakan orang lainnya. Oleh sebab ini juga, pedofil ini
jatuh di bawah golongan yang sama dengan homoseksual. Pedofil biasanya
berkeinginan kepada kanak-kanak, dan berusaha melampiaskan nafsunya dengan
kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa. Pedofil juga kebanyakannya adalah
mangsa penderaan seksual ketika kecilnya, yang kemudian mempengaruhi dirinya
sehingga menjadi tidak kenal dengan naluri seks yang sewajarnya. Kanak-kanak
yang menjadi mangsa juga akan ada kemungkinan mengikuti jejak langkah mereka
sekiranya langkah pencegahan awal tidak diambil, Nauzubillahi min zalik (Usman,
Wazir, Mohd Saleh, Shaharuddin, Nasir & Shahabudin, 2020). Kajian ini
menunjukkan bahawa tindakan seorang pedofil itu adalah satu bentuk penderaan
fizikal dan mental, dan sekiranya kita melihat kepada bukti-bukti sejarah Islam
seterusnya, tidak ada satupun kisah yang mengatakan Saidatina Aisyah mengaku
diperlakukan sedemikian rupa. Bahkan, sehingga akhir hayat hidupnya, Aisyah
dengan bangga memegang dan memikul tanggungjawab gelaran Ummul Mukminin itu.
Begitu juga Rasulullah yang mencintai dan memuliakan isteri baginda.
Amr bin Ash ra bertanya kepada Rasulullah SAW,
“(Wahai Rasulullah) Siapa manusia yang paling engkau cintai?” Rasulullah SAW
menjawab: “Aisyah”. (HR Bukhari dan Muslim)
Walau ramai yang
masih tetap dengan tuduhan ini, segala aspek perlu diambil kira contohnya
seperti adat sesebuah tempat itu, dan norma kebiasaan sesuatu kaum tersebut.
Tetapi, benarlah kata buya Hamka, ‘Sekiranya orang itu mencari kebenaran, pasti
akan ditemuinya walau berbalut kepalsuan. Tetapi, sekiranya orang itu
sememangnya tidak mencari kebenaran, pasti tidak akan menemuinya walaupun
kebenaran itu terpampang jelas di depan matanya’ (Talib, 2014). Ini kerana
perkahwinan dengan Aisyah ra adalah perintah daripada Allah yang disampaikan
oleh Jibril as. Nabi sebagai pesuruh Allah yang patuh akan setiap perintahNya
menuruti perintah ini, walau demikianlah tuduhan yang diterima di kemudian
hari. Nabi juga seringkali mengatakan bahawa Islam bukanlah agama baru tetapi
adalah agama yang telah dibawa oleh nabi-nabi terdahulu lagi tetapi sering
didustakan oleh kaum-kaum mereka (Katsir, 2019).
Adakah Nabi
Muhammad SAW yang membawa ajaran yang sama dengan nabi-nabi terdahulu yang
maklum dengan Nabi Luth yang melawan kaumnya yang homoseksual yang juga
kelakuan seks songsang seperti pedofil akan melakukan perkara yang sama? Adakah
Nabi yang sayangkan kanak-kanak sehingga mengambil Ali bin Abi Talib dan Zaid
bin Harith sebagai anak angkat sanggup untuk melakukan penderaan apatah lagi
penderaan seksual kepada kanak-kanak lainnya? (Thompson, 2016). Adakah Nabi
yang memuliakan manusia lainnya tidak kira usia dan pangkat sanggup melakukan
perkara yang kejam tersebut?
Berkenaan
perkahwinan Nabi, isu isteri-isteri Nabi juga selalu menjadi perbincangan
hangat untuk menjatuhkan martabat umat Islam amnya dan Nabi Muhammad SAW
khasnya. Mereka seringkali mempersoalkan mengapa Nabi berkahwin lebih daripada
4 orang tetapi umat Islam hanya boleh bernikah sehingga 4 orang sahaja pada
satu-satu masa? Bukankah ini yang dikatakan gila seks sehingga bekas isteri
sahabatnya sendiri pun dinikahi? Untuk menjawab tuduhan ini, wajarlah sekiranya
kita kembali menelusuri sirah Nabi dengan lebih mendalam lagi. Ketika Nabi
berkahwin dengan Saidatina Khadijah ra yang 15 tahun lebih tua daripada Nabi,
Nabi baru berumur 25 tahun dan perkahwinan itu berlangsung selama 23 tahun
sebelum Khadijah pergi dahulu meninggalkan Nabi. Nabi sangat menyayangi
Khadijah sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Nabi tidak
berkahwin lagi sehinggalah perintah Allah untuk mengahwini Saidatina Aisyah
turun, bahkan hampir semua perkahwinan Nabi adalah atas perintah Allah ataupun
atas dasar diplomatik. Contohnya perkahwinan dengan Maria al-Qibtiyyah yang
merupakan hamba kiriman penguasa Iskandariah ketika itu. (Karim Amrullah, 2018)
Semua perkahwinan Nabi setelah pemergian Khadijah mempunyai alasan
tersendiri, yang seringkali dijadikan sumber tomahan para orientalis untuk
memburuk-burukkan nama Nabi Muhammad SAW. Walhal, setiap perkahwinan Nabi
mempunyai cerita dan sejarah tersendiri (Gulen, 2002). Hidup dan perjalanan
Nabi sekiranya diteliti sememangnya tidak sama dengan lelaki lain, untuk
menunjukkan ketinggian martabat Nabi berbanding manusia lain walaupun Nabi juga
adalah seorang manusia biasa. Dan kehidupan perkahwinan Nabi adalah teladan
yang juga patut dicontohi. Syahadah kedua itu adalah bersaksi bahawa Rasulullah
SAW adalah pesuruh dan pembawa risalah Ilahi kerana untuk menunjukkan bahawa
Rasulullah itu hanyalah manusia biasa, bukannya tuhan yang sempurna sekaligus
menaikkan kedudukan Nabi sebagai Rasul Allah. Nabi mentaati Allah walau apa jua
dugaan yang diterimanya, dan kita juga wajib mentaati Allah dan rasulNya.
مَّن يُطِعِ ٱلرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ ٱللَّهَ ۖ وَمَن تَوَلَّىٰ
فَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظً
“Barangsiapa yang mentaati Rasul itu, sesungguhnya ia telah
mentaati Allah. Dan barangsiapa yang berpaling (dari ketaatan itu), maka Kami
tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka.” (Al-Nisa’ : 80)
Pandangan barat atau pandangan lain yang ingin menjatuhkan Islam
akan berusaha untuk mencari jalan dan keburukan untuk merosakkan nama Islam
pada kaca mata dunia, terutamanya dengan menggunakan media massa. Mereka akan
cuba mengatakan akhlak Islam sudah tidak lagi relevan untuk digunapakai pada
zaman teknologi serba maju ini, walhal akhlak Islam itu sempurna, meliputi
segala aspek kehidupan dari sekecil-kecil sehingga sebesar-besar perkara. Dan
Rasulullah SAW itu adalah teladan terbaik untuk dicontohi kerana akhlak
Rasulullah adalah akhlak Islam yang sebenar. Sebagaimana Rasulullah sampaikan
pada Haji Wida’ ;
ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ
نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَٰمَ دِينًا ۚ فَمَنِ ٱضْطُرَّ فِى مَخْمَصَةٍ
غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِّإِثْمٍ ۙ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku
cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku redhai Islam itu jadi agama bagimu.
Maka barang siapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa,
sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al-Ma’idah : 3)
Agama Islam adalah sebaik-baik agama, akhlak Islam adalah sebaik-baik akhlak dan Rasulullah SAW ialah sebaik-baik manusia dan uswatun hasanah.
PENYIHIR (Sorcerer, Charlatan)
Islam adalah agama yang tumbuh subur di tengah-tengah tandusnya
gurun pasir, yang kemudian melebarkan empayarnya dan pernah menjadi salah satu
empayar terbesar di atas muka bumi ini. Penduduk Islam sehingga hari ini
sangatlah ramai. Tuduhan tidak berasas tentang perkembangan Islam ini ialah
kerana Nabi Muhammad adalah seorang penyihir, yang selalu menyihir orang ramai
supaya sesiapa yang mendengar dakwahnya akan menjadi pengikutnya. Nabi-nabi
sebelum Nabi Muhammad SAW juga selalu digelar tukang sihir apabila orang-orang
yang ingkar ini kehabisan idea untuk berbantah dengan kebenaran yang dibawa
para Nabi.
فَلَمَّا
جَآءَهُمُ ٱلْحَقُّ مِنْ عِندِنَا قَالُوٓا۟ إِنَّ هَٰذَا لَسِحْرٌ مُّبِينٌ
“Dan tatkala telah datang kepada mereka kebenaran dari sisi Kami,
mereka berkata: ‘Sesungguhnya ini adalah sihir yang nyata’.” (Yunus :10)
Pada zaman
pertengahan, Nabi dituduh sebagai seorang penyihir yang membuat orang yang
mendengar bicaranya akan terkesima dan perlahan-lahan menjadi pengikutnya. Oleh
kerana inilah kononnya, pengikut agama Islam itu menjadi sangat ramai.
Masyarakat dunia ketika itu yang hanya mendengar dan tidak mengkaji, langsung
tidak mempersoalkan kesahihan berita ini kerana terdapat orang Yahudi dan Kristian
sendiri yang mengakui berita ini. Ini juga salah satu alasan mengapa penduduk
Eropah sangat membenci Islam pada masa itu, kerana takut menjadi pengikut
penyihir (black magic practitioner). Kedudukan Islam dan Nabi Muhammad
SAW ketika itu sangat buruk, ditambah dengan Pope Kristian yang tidak
ingin kehilangan kuasa gereja, menyimbah minyak ke atas api menokok-tambah lagi
imej Rasulullah yang sememangnya sudah buruk malah semakin dihancurkan lagi
(Khan & Mohammed Taleb, 2020).
Dinamakan sihir oleh sesetengah yang lain kerana bangsa Arab
Jahiliyyah juga selalu mengamalkan sihir, bahkan Rasulullah SAW juga pernah
terkena sihir oleh musuh Islam ketika hidupnya. Allah kemudian mengajarnya ayat
al-Quran untuk meleraikan sihir yang mengikat baginda, yang dihantar oleh seorang
Yahudi yang bernama Labid bin Aksam dari Bani Zuraiq. Asbab turunnya surah
Al-Falaq dan Al-Nas untuk menyembuhkan Nabi yang menderita sakit dek sihir ini
(Karim Abdullah, 2018).
Tahun-tahun
seterusnya menyaksikan imej Rasulullah yang tidak ada penambahbaikannya di
golongan yang sememangnya tidak cakna dan ingin mengambil tahu tentang Islam,
semata-mata ingin memburukkan Islam dengan stereotaip yang tidak ingin diubah.
Menjelang Revolusi Sains dan Industri, masyarakat dunia terutamanya masyarakat
Eropah sudah tidak lagi mempercayai tentang sihir atau magic. Semua
benda berubah pada mata mereka, dan semua benda mengalami modenisasi.
Malangnya, tuduhan itu juga mengalami peringkat pemodenisasi tersebut. Penyihir
itu ditukar mengikut istilah psikologi barat, iaitu Psychopath. Ada yang
mengatakan sesetengah psychopath mampu mengawal emosi lawan bicaranya (Emotion
Manipulation) (Birch, 2013) dan inilah yang dikatakan dilakukan Nabi
sehingga mampu mempunyai ramai pengikut.
Psychopath dikatakan
mampu membaca pemikiran lawannya, dan mengawalnya mengikut kehendak hati
mereka. Oleh kerana Psychopath adalah satu penyakit mental, boleh jadi
pesakit ini mencipta satu ilusi yang tidak benar atau sebenarnya hanya terjadi
di dalam benaknya. Inilah yang mereka katakan terjadi kepada Rasulullah SAW
ketika baginda menceritakan tentang bagaimana Jibril as menyampaikan wahyu
pertama (Tolan, 2019). Seperti juga penulis yang suka menulis buku-buku yang
menimbulkan kontroversi, Sheindlin (2015) dalam bukunya The People vs Muhammad,
terang-terangan mengatakan Nabi adalah pesakit mental yang kritikal. Pada muka
hadapan buku sahaja tertulis segala tuduhan-tuduhan yang dikatakan bukti
analisis daripada aspek psikologi yang mengatakan Nabi adalah pesakit mental, psychopath,
gila seks, skizofrenia dan banyak lagi (Sheindlin, 2015).
Jika benar Nabi
ini adalah penyihir dan Nabi palsu, bagaimana pula dengan mukjizat-mukjizat
kurniaan Allah. Terlalu banyak mukjizat Nabi yang masih kekal sehingga ke hari
ini dan dapat disaksikan dengan mata kepala kita sendiri. Contohnya mukjizat
al-Quran yang dipenuhi kisah-kisah yang selari dengan sains yang baru ditemui
200 tahun kebelakangan ini. Juga kejadian mukjizat yang tidak dapat dijelaskan
oleh tukang sihir sekalipun, contohnya kejadian bulan terbelah. Di mana kaum
musyrikin meminta kepada Nabi untuk membelah bulan supaya mereka beriman tetapi
setelah bulan terbelah dengan izin Allah, mereka tetapi sahaja dengan kekufuran
mereka.
أَنَّ أَهْلَ مَكَّةَ سَأَلُوا رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ
يُرِيَهُمْ آيَةً، فَأَرَاهُمُ انْشِقَاقَ الْقَمَرِ
“Penduduk Makkah meminta Rasulullah SAW agar mendatangkan mukjizat.
Baginda perlihatkan pada mereka terbelahnya bulan.” (HR Bukhari dan Muslim)
أَفَرَءَيْتَ
مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ
عَلَىٰ سَمْعِهِۦ وَقَلْبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَٰوَةً فَمَن
يَهْدِيهِ مِنۢ بَعْدِ ٱللَّهِ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya
sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah
mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas
penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah
(membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?
(Al-Jatsiyah : 23)
Dr Danial Zainal Abidin menulis satu buku lengkap menjelaskan
tentang bukti bahawa mukjizat Nabi itu bukanlah sihir tetapi satu kurniaan
daripada Allah untuk menunjukkan kebenaran yang dibawa oleh Nabi. Bukan sahaja
bersumberkan al-Quran dan Al-Sunnah, beliau menggunakan pendekatan saintifik
dan dari aspek sejarah untuk menjelaskan tentang mukjizat Nabi Muhammad SAW.
Pada sesetengah bab, beliau turut membandingkan antara sumber daripada
al-Quran, Al-Sunnah dan Bible (Bible-bible yang banyak versi) (Zainal Abidin,
2003).
Keajaiban al-Quran sebagai satu mukjizat masih boleh dikaji
sehingga ke hari ini, kerana terdapat banyak penemuan-penemuan baru dalam
bidang akademik seperti sains atau ilmu tabi’i yang telah lama termaktub dalam
al-Quran. Contohnya kisah Firaun yang ditenggelami oleh laut pada ayat,
وَإِذْ
فَرَقْنَا بِكُمُ ٱلْبَحْرَ فَأَنجَيْنَٰكُمْ وَأَغْرَقْنَآ ءَالَ فِرْعَوْنَ
وَأَنتُمْ تَنظُرُونَ
“Dan (ingatlah), ketika Kami belah laut untukmu, lalu Kami selamatkan
kamu dan Kami tenggelamkan (Fir'aun) dan pengikut-pengikutnya sedang kamu
sendiri menyaksikan.” (Al-Baqarah : 50)
Saintis kemudian menemukan tinggalan kenderaan Firaun di
tengah-tengah Laut Merah yang mengisahkan cerita yang disebut dalam al-Quran
(Wyatt, 2009). Juga bagaimana sehingga kini kita boleh melawat muzium di Mesir
dan mendapati mumia Firaun terbaring di dalam keranda kaca.
فَٱلْيَوْمَ
نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ ءَايَةً ۚ وَإِنَّ كَثِيرًا
مِّنَ ٱلنَّاسِ عَنْ ءَايَٰتِنَا لَغَٰفِلُونَ
“Maka pada hari ini Kami selamatkan badanmu supaya kamu dapat
menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu dan sesungguhnya
kebanyakan dari manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.” (Yunus : 92)
Sesungguhnya, ini adalah salah satu tanda al-Quran itu benar
daripada Allah yang Maha Mengetahui, sekalipun hal yang akan berlaku di
kemudian hari. Bagaimana mungkin Nabi yang dikatakan penyihir dan penipu ini
mengetahui tentang rahsia yang akhirnya boleh diketahui dan dibongkar oleh
sains ribuan tahun kemudian kecuali dengan wahyu daripada tuhan yang wajib
disembah.
Seperti hadith
tentang penawanan kota Parsi dan Rom ketika Nabi Muhammad SAW memecahkan batu
besar yang menghalang penggalian parit ketika Perang Ahzab, yang kemudian
menjadi realiti setelah kewafatan baginda iaitu pada zaman Khulafa’ Al-Rasyidin
berikutnya (Karim Amrullah, 2018). Bagaimana mungkin Rasulullah mengetahui
tentang peristiwa yang akan terjadi pada masa hadapan, bahkan setelah kewafatan
baginda, kalau bukan dengan pertolongan daripada Allah SWT. Al-Quran jika
diteliti dan direnungi, sesungguhnya penuh dengan ilmu dan hikmah. Huruf-huruf
dan kedudukan-kedudukan setiap satu dalam al-Quran itu juga bukan saja-saja
tetapi mempunyai maksud mukjizat yang tersembunyi, yang sekiranya dikaji dengan
lebih mendalam, sesungguhnya terlalu cetek ilmu di dada (Ismail, 2017).
Dan beberapa lagi Profesor yang mengkaji al-Quran dan kisah Nabi
dengan niat untuk menjatuhkan Islam tetapi menemui sinar Islam yang sebenar dan
beriman kepada Allah SWT, contohnya seperti Prof Gary Miller, seorang misionari
Kristian yang selalu berdebat dengan Ahmad Deedat, mendalami al-Quran untuk
mencari kelemahannya tetapi sebaliknya menemui bahawa al-Quran ini benar adalah
wahyu daripada Allah. Beliau menukar nama menjadi Prof Abdul Ahad Omar dan
meneruskan kerjaya sebagai pendakwah dan juga professor. Berkenaan Nabi
Muhammad, beliau menyatakan mengkaji al-Quran untuk membongkar penipuan
Rasulullah yang dituduh gila dan penipu, tetapi beliau bahkan menemui sesuatu
yang lebih baik iaitu ketauhidan Ilahi. Beliau juga mengatakan bahawa ketika
mula membaca al-Quran, menjangka akan menemui tentang kisah Nabi Muhammad SAW
dan kehidupannya di tengah-tengah padang pasir, tetapi tidak. Al-Quran adalah
kitab yang menjelaskan tentang wahyu Allah dan kebenaran tauhid yang satu.
Setelah memeluk Islam, beliau menulis sebuah buku The Amazing Al-Quran, yang
menceritakan al-Quran tetapi dari pendekatan saintifik (Islam for Christians,
2014).
Rasulullah SAW adalah
seorang lelaki, yang diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan risalahNya, dengan
pimpinan wahyu yang diturunkan dengan perantara Jibril as. Nabi tidak pernah
menginginkan selain kebaikan untuk umatnya. Tetapi, manusia seringkali
bertindak mengikut hawa nafsu dan terjerat oleh jarum syaitan dan menuduh Nabi
dengan tuduhan yang melampaui batas. Walhal, sekiranya mereka mengkaji dengan
sebenar-benar kajian, dengan mata hati, bukan berat sebelah, pasti mereka juga
dapat melihat betapa indahnya leluhur akhlak Rasulullah SAW yang sebenar. Akan
tetapi, mereka memilih untuk membutakan mata mereka.
وَحَسِبُوٓا۟
أَلَّا تَكُونَ فِتْنَةٌ فَعَمُوا۟ وَصَمُّوا۟ ثُمَّ تَابَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ
ثُمَّ عَمُوا۟ وَصَمُّوا۟ كَثِيرٌ مِّنْهُمْ ۚ وَٱللَّهُ بَصِيرٌۢ بِمَا
يَعْمَلُونَ
“Dan mereka mengira bahwa tidak akan terjadi suatu bencanapun
(terhadap mereka dengan membunuh nabi-nabi itu), maka (kerana itu) mereka
menjadi buta dan pekak, kemudian Allah menerima taubat mereka, kemudian
kebanyakan dari mereka buta dan tuli (lagi). Dan Allah Maha Melihat apa yang
mereka kerjakan.” (Al-Ma’idah : 71)
Mereka boleh melihat kebenaran, tetapi mereka lebih memilih untuk tetap diselubungi kepalsuan dan kesesatan. Tidak seperti sesetengah daripada mereka yang tulus dalam membuat kajian dan mengaku akan kehebatan Nabi Muhammad SAW.
PANDANGAN OPTIMIS TERHADAP RASULULLAH[1]
Mohandas Karamchand Gandhi (1869- 1948)
“…saya menjadi lebih yakin bahawa bukan
dengan pedang Islam itu tertegak pada zaman Muhammad. Ia tertegak kerana
kemudahan mengamalkan Islam, dengan penghapusan ideologi individualistik oleh
Muhammad, dengan ketelitian terhadap semua dakwahnya, kasih sayang terhadap
umatnya, keberanian baginda, keyakinan baginda kepada Tuhan dan misi yang
diserahkan kepadanya. Semua ini bukanlah datangnya dari mata pedang seperti
yang dipercayai semua.”
Annie Besant (1847-1933)
“Sangat mustahil untuk sesiapa yang mengkaji kehidupan dan keperibadian Putera Arab ini, yang tahu bagaimana baginda mengajar dan bagaimana baginda menjalani kehidupannya, untuk merasa tidak kagum dan hormat terhadap Nabi yang hebat ini, salah seorang Rasul dari Tuhan. Dan walau apapun yang saya ceritakan kepada anda hari ini tentang kehebatan dan pelajaran dari Muhammad, saya akan sentiasa jumpa kehebatan dan pelajaran baru daripada baginda jikalau saya kaji semula, seorang guru yang hebat dari Arab.”
Alphonse de Lamartine (1790-8691)
“Ahli falsafah, pemidato, Rasul,
penggubal undang-undang, pejuang, penakluk kepada idea, pemulih kepada dogma
rasional, sebuah simbol tanpa imej; perintis dan pengasas kepada 20 empayar,
yang digabungkan di bawah satu ‘spiritual’ empayar, dan itulah Muhammad. Dengan
mengambil kira semua aspek dan kayu ukur untuk seorang manusia yang hebat,
bolehlah kita bertanyakan, adakah manusia yang lebih hebat selain dia?”
David George Hogarth (1862- 1927)
“Penting atau remeh, akhlak
baginda masih menjadi ikutan dan panduan berjuta umat manusia sehingga hari
ini. Tiada manusia lain yang dijadikan ikutan dan panduan sebagai Manusia
Sempurna selain dari Muhammad. Pengasas Kristianiti pun tidak pernah menjadi
contoh kepada pengikutnya dan tiada satu pun pengasas agama lain yang boleh
mencapai kemuliaan seperti Rasul umat Islam ini.”
Snersten Elasogi, Professor
Bahasa Aramaic Dalam bukunya Sejarah Hidup Muhammad mengatakan, “Sesungguhnya
kita tidak adil pada Muhammad jika kita mengingkari apa yang ada pada dirinya,
kualiti dan sifat-sifatnya. Muhammad memimpin perang yang besar yang memerangi
kebodohan dan kekusutan pada prinsipnya. Dia terus memerangi tindakan yang
melampaui batas hingga ia berakhir pada kemenangan yang nyata . Sehingga
syariatnya menjadi syariat yang paling sempurna, dia berada di atas menjadi
para tokoh agung sejarah”.
Senex, seorang Orientalis Amerika
Syarikat Dalam bukunya Agama Arab mengatakan “Muhammad muncul 570 tahun setelah
Isa a.s diangkatkan ke langit. Dia Muhammad meningkatkan akal manusia dengan
memberinya dasar-dasar utama dan akhlak yang mulia, mengembalikan kepada
keyakinan Tuhan yang Esa dan kehidupan setelah kematian”.
Dr. Zuwaimer seorang Orientalis Kanada Dalam
bukunya yang bertajuk Timur dan Tradisinya mengatakan, “Tidak diragukan lagi
bahawa Muhammad SAW adalah termasuk pemimpin agama terbesar. Boleh juga
dikatakan dia seorang reformis, berani dan pemikir yang agung. Tidak boleh kita
menyebutnya dengan apa yang bertentangan dengan sifat ini. Al-Quran yang datang
bersama Muhammad SAW dan sejarahnya menjadi saksi atas kebenaran dakwaan ini.”
Bretly Hiler, seorang Orientalis Jerman Dalam bukunya mengatakan, “Muhammad SAW adalah seorang ketua negara dan seorang yang mempunyai keprihatinan besar pada kehidupan rakyat. Dia menghukum orang-orang yang melakukan kesalahan sesuai dengan keadaan zamannya dan sesuai dengan situasi kelompok-kelompok buas dimana Nabi hidup di kalangan mereka. Nabi Muhammad SAW adalah penyeru agama kepada Tuhan yang Esa. Di dalam dakwahnya, dia menggunakan cara yang lembut meskipun dengan musuh-musuhnya. Pada keperibadiannya ada dua sifat yang dimiliki oleh jiwa manusia iaitu keadilan dan kasih sayang.
Bernardesho, seorang penulis dan pengkritk British Beliau mengatakan, “Dunia ini sangat memerlukan lelaki dengan pemikiran seperti Muhammad. Nabi inilah yang meletakkan agamanya sentiasa dalam posisi terhormat dan tinggi, agama yang paling kuat didalam mencerna seluruh peradaban dan kekal sepanjang masa. Saya melihat ramai rakyat British memeluk agama ini dengan bukti yang nyata. Agama ini akan mendapat kesempatan yang luas di Eropah . Tokoh- tokoh agama pada abad pertengahan akibat dari diskriminasi dan kejahilan, telah menggambarkan Muhammad sebagai musuh Kristian. Namun setelah saya mengkaji tentang orang ini (Muhammad), saya tahu dia adalah lelaki terhebat.”
Michael H. Hart dalam bukunya
berkata, The 100: “Pilihan saya terhadap Muhammad SAW yang paling atas
dalamurutan tokoh paling berpengaruh di dunia, mungkin mengejutkan sebahagian
orang sementara sebahagian mempertanyakannya. Beliau seorang yang sederhana
yang meletakkan dasar-dasar salah satu agama terbesar di dunia dan
menyebarkannya, dan menjadi pemimpin politik yang sangat efektif. Sekarang 13
abad kewafatan beliau akan tetapi pengaruhnya masih besar dan terus berjalan
tanpa henti.”
Patung Baginda SAW terpahat di Mahkamah Agung Amerika Syarikat
Amerika Syarikat juga menghormati Baginda Nabi Muhammad SAW sehingga mereka
memahat patung Baginda di dinding Mahkamah Agung mereka. Ianya bukanlah suatu
penghinaan kepada umat islam akan tetapi hormatnya mereka terhadap Nabi
Muhammad SAW sebagai tokoh ulung dalam sejarah. Pada tahun 1955, patung itu
diturunkan atas desakan umat Islam ketika itu. Sehingga kini, tidak ada patung
tokoh lain yang menggantikan tempat berdirinya patung baginda satu masa dahulu.
PENUTUP
Nabi Muhammad SAW sebelum menerima wahyu lagi terkenal dengan
kejujurannya sehingga digelar Al-Amin oleh masyarakat Makkah. Kejujuran inilah
yang menjadikan baginda sangat amanah dalam melakukan sesuatu tugas,
termasuklah setelah turunnya wahyu. Amanah yang dipikul bukannya ringan, tetapi
baginda memohon petunjuk Allah dalam setiap hal yang dilakukannya. Begitulah
baginda menjadi contoh yang terbaik dalam segala aspek kehidupan. Dakwah yang
dibawa baginda masih lagi berterusan sehingga sekarang. Tuhan yang wajib
disembah hanyalah Allah SWT, Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh dan pembawa
risalahNya dan Islam agama yang diredhaiNya.
Akhlak Rasulullah adalah uswatun hasanah dan merupakan akhlak Islam
yang sempurna. Akhlak Islam meliputi seantero kehidupan manusia, dari
sekecil-kecil perkara seperti urutan tangan ketika memotong kuku sehingga
sebesar-besar perkara seperti cara memandikan jenazah dan rukun menunaikan
haji. Sesiapa yang mengimplementasikan akhlak Islam dalam hidupnya pasti akan
bahagia sang pelakunya. Ini kerana akhlak Islamiyyah itu bersandarkan
Rabbaniyyah dan mendekatkan lagi kepada Allah. Hamba yang dekat dengan
Penciptanya pasti akan bahagia selalu, tidak kira bagaimanapun kehidupannya
kerana kehidupan yang kekal adalah akhirat. Tika diberi nikmat dia bersyukur,
tika diuji dia bersabar. Begitulah sebaik-baik muslim.
“Dan tidaklah satu kaum itu
berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan
mempelajarinya sesama mereka melainkan turunnya ketenangan kepada mereka, diliputi
oleh rahmat Allah serta malaikat mengerumuninya dan Allah menjadikan
makhluk-makhluk yang berada di sisi-Nya menyebut-nyebut mereka. Dan barangsiapa
yang amalnya perlahan, maka nasabnya tidak dapat mengangkat darjatnya itu”. (HR
Muslim)
Wallahu ta‘ala ‘alam.
(Disclaimer : This is for student research purpose only.)
RUJUKAN
Al-Quran
Tafsir al-Quran (https://tafsirweb.com/)
Armstrong,
K,. (2007). Muhammad: Prophet for Our Time. New York, USA : Harper
Perennial Publishers.
Aziz, H,. (2019). Did Prophet Mohammad (PBUH)
have epilepsy? A neurological analysis. Epilepsy & Behavior review,
Volume 103, 106654. https://doi.org/10.1016/j.yebeh.2019.106654
Birch, A., (2013, Jan 19). Psychopaths use
Trance and Hypnosis to Get and Keep Victims. Psychopaths & Love. http://psychopathsandlove.com/psychopaths-use-trance-and-hypnosis-to-get-and-keep-victims/
Brennan,
D. (2018, Okt 26). Calling Prophet Muhammad a Pedophile Not Protected by Free Speech, Court
Rules. Newsweek. https://www.newsweek.com/
Gulen, F., (2002, Dis 23). Why He had More
than One Wife. The Messenger of God : Muhammad. http://fgulen.com/en/fethullah-gulens-works/prophet-muhammad/why-he-had-more-than-one-wife
Hart,
M, H,. (1992). The 100, A Ranking of the Most Influential Persons in
History. New York, USA : Kensington Publishing Corp.
Hourani,
A., (1991). A History of Arab Peoples. New York, USA : Grand Central
Publishing.
Islam for
Christians. (2014, sept 14). Gary Miller : The Man who Challenged the Quran.
Islam for Christians. https://www.islamforchristians.com/gary-miller-man-challenged-quran/
Ismail, A, Z., (2017). Mukjizat Bilangan
dalam Al-Quran : Kajian Perbandingan antara Bassam Nihad Jarrar dan ‘Abd
Al’-Da’im Al-Kahl. [Doctoral Dissertation, Universiti Malaya]. http://studentsrepo.um.edu.my/8566/1/abu_zaki.pdf
Karim Amrullah, A, M., (2018). Sejarah Umat
Islam. Selangor, Malaysia : PTS Publications.
Katsir,
I., (2019). Kisah Para Nabi – Kisah 31 Nabi dari Adam hingga ‘Isa
(Terjemahan lengkap Kitab Qishashul Anbiyaa’ susunan Ibn Katsir). Jakarta,
Indonesia : Ummul Qura Publishing.
Khan, S. S., & Mohammed Taleb, F., (2020).
Western Image Of Muhammad (Pbuh) As A Prophet. Trames. Journal of the
Humanities and Social Sciences, 24(1), 71. https://doi:10.3176/tr.2020.1.04
Maguire,
L. (2018, Sep 14). The Psychology of Cruelty. Philoso?hy Talk. https://www.philosophytalk.org/blog/psychology-cruelty#:~:text=A%20popular%20theory%20is%20that,often%20described%20as%20empathy%20erosion.&text=They%20were%20dehumanized%2C%20thus%20making%20acts%20of%20extreme%20cruelty%20possible.
Mohd
Suki, M,. (2017). 40 Kisah yang Membuatkan Nabi Ketawa berdasarkan Hadith
Sahih. Selangor, Malaysia : PTS Publishing House.
Omar,
Z, A. (2017). Perang-Perang Rasulullah. Selangor, Malaysia : Must Read
Sdn Bhd.
Ramli,
R., (2012). Biografi Agung Rasulullah. Selangor, Malaysia : Must Read
Sdn Bhd.
Salahuddin, A, Q,. 40 Akhlaq yang Mengubah
Dunia. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia : Darul Nu’man
Publishing.
Sheindlin, J, K., (2015). The People vs
Muhammad. J.K. Sheindlin.
Talib, A, L,. (2014). Hamka : Ulama,
Pemimpin, Sasterawan. Selangor, Malaysia : PTS Litera Utama Sdn Bhd.
Talib,
A. L., (2015). Imam Bukhari. Selangor, Malaysia : PTS Publishing House.
Thompson, S, S., (2016). The Pedophile
Prophet? Breathing a Culturally Relative Point of View into a Controversial
Cultural Debate. What All Americans Should Know About Women in the Muslim
World. https://cupola.gettysburg.edu/islamandwomen/11
Tolan, V, J., (2019). Faces of Muhammad:
Western Perceptions of the Prophet of Islam from the Middle Ages to Today.
New Jersey, USA : Princeton University Press.
Usman, A, H,. Wazir, R,. Mohd Saleh, N,.
Shaharuddin, S, A,. Nasir, M, N, & Shahabudin, M, F,. (2020). Influential
Factors In Sexual Orientation Of Paedophilia: Statistic Case And Expert
Discussion. Journal of Critical Reviews, Vol 7(14).
Wood,
D. (2016, Mac 30). Historical Muhammad : The Good, Bad, Downright Ugly. North
American Mission Board. https://www.namb.net/apologetics/resource/historical-muhammad-the-good-bad-downright-ugly/
Wyatt, R., (2009, July 27). Ron Wyatt – Pharaoh’s army in the Red
Sea. Archaeology. https://propheticvoice.co.uk/archaeology/Ron-Wyatt-Pharaoh-s-army-in-the-Red-Sea
Zainal Abidin, D. (2003). Bukti-bukti Sains
& Sejarah Kerasulan Muhammad. Selangor, Malaysia : PTS Publications.