Friday, October 23, 2020

Prof Ahad Omar (before reverted Prof Gary Miller)



 PENGENALAN

            Al-Quran bukanlah satu buku yang menerangkan tentang sains, namun ianya bertepatan dengan penemuan-penemuan sains yang lama ataupun terkini.[1] Tentang menaksir sains dengan al-quran, atau al-quran dengan interpretasi sains, pandangan terbahagi kepada dua. Ada pendapat sesetengah ilmuwan mengatakan tidak boleh dan tidak membenarkannya, namun ada sesetengah yang lain membenarkan, bahkan mengeluarkan banyak karya berkenaan perkara ini. Dunia islam bermula dari zaman kegemilangannya tidak pernah ketinggalan dalam melahirkan tokoh-tokoh dalam semua bidang ilmuwan, termasuklah disiplin ilmu ini iaitu al-quran dengan pendekatan sains. Antara tokoh-tokoh yang terkenal ialah Dr Maurice Bucaille, Dr Zaghlul Najar, Abdus Salam, Dr Ali Mansour Kayali, Abdul Daem Al-Kaheel, Muzaffar Iqbal dan ramai lagi. Kertas kerja ini khususnya membincangkan tentang Dr Gary Miller yang kemudiannya masuk Islam kerana kagum dengan mukjizat Al-Quran, yang menukar namanya kepada Abdul Ahad Omar. Wallahu‘alam.

LATAR BELAKANG

            Gary Miller membesar di Kanada, di mana beliau bersekolah di sekolah Francisan Catholic. Dia kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang teologi di Universiti Jesuits. Dengan kebijaksanaan dan kepetahannya, dia menjadi seorang mubaligh Kristian yang aktif di gereja-gereja dan juga di kaca televisyen selama 15 tahun.[2] Beliau kemudian mengambil PhD dalam bidang matematik di Universiti Toronto. Gary Miller yang sememangnya mempunyai fikiran yang berlandaskan logik tidak dapat menerima apa yang diajarkan oleh paderi Katolik dan kemudian berpindah kepada Kristian Protestan. Selama sembilan tahun beliau bertanya dari satu gereja ke gereja yang lain tetapi tidak mendapat jawapan yang memuaskan hati dan benaknya.[3]

            Pernah dia bertanya kepada paderi-paderi, “Siapakah ayah kepada Jesus?”, dan mereka menjawab, “God!”, lalu dia bertanya semula, “Lalu, siapakah ibunya?”. Mereka menjawab, “Mary!”. Dia mengejutkan mereka dengan bertanya, “Adakah ini bermaksud God mengahwini Mary dan melahirkan Jesus?”, mereka menjawab, “Tidak, jangan katakana sedemikian rupa! God tidak mengahwini Mary.”. Gary kemudian bertanya, “Jadi, adakah God dan Mary melahirkan Jesus di luar ikatan pernikahan?”. Paderi-paderi itu tergamam dan menundukkan kepala mereka. Gary kemudian bertanya lagi kepada mereka, sekiranya mereka dapat menunjukkan walau satu ayat dalam bible di mana Christ menceritakan tentang ketuhanannya atau ketuhanan yang tiga. Sekali lagi mereka terdiam dengan pertanyaan Gary. Bertahun-tahun Gary mempersoalkan tentang Kristian dan masih tidak mendapat jawapan yang dikehendakinya.[4]

            Allah mengkehendaki yang terbaik untuknya. Gary kemudiannya banyak membaca tentang penulisan orientalis barat tentang islam dan Nabi Muhammad SAW. Dari bacaannya ini, dia sampai ke satu kesimpulan iaitu orang barat bersepakat untuk menolak kenabian Muhammad SAW. Tetapi, mereka tidak jelas dalam penolakan tersebut, kerana tidak disertai dengan hujah dan bukti yang kukuh, lantas hanya menuduh Nabi Muhammad SAW sebagai gila ataupun penipu. Gary berfikir, mustahil untuk dua sifat ini berkumpul dalam satu individu. Dia sama ada seorang yang bijak dan pandai menipu orang untuk mempercayai kenabiannya, ataupun seorang yang gila yang tidak menyedari perbuatan dan percakapannya.[5]

            Biografi Nabi Muhammad SAW menafikan kedua-dua pendapat di atas. Gary juga turut membaca tentang pandangan orientalis ini, antaranya ialah Orientalis Yahudi Perancis, Maxime Rodinson yang di dalam bukunya menceritakan tentang Nabi Muhammad dari perspektif mereka. Namun, cerita-cerita di dalamnya yang menarik perhatian Gary. Salah satu cerita tersebut ialah cerita ketika terjadinya gerhana matahari ketika anak Nabi Muhammad SAW yng bernama Ibrahim meinggal dunia. Sahabat mengatakan telah terjadi gerhana matahari kerana meningalnya Ibrahim, lalu Rasulullah menjawab, “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah termasuk dari tanda-tanda kebesaran Allah, gerhana terjadi pada keduanya bukan kerana kematian seseorang dan tidak juga kerana kehidupan seseorang.”[6] Bagi Gary Miller, jawapannya itu sahaja adalah bukti terkukuh bahawa dia bukanlah seorang penipu ataupun seorang yang gila. Kerana, dalam kes tersebut, boleh sahaja dia bersetuju dan mengiyakan apa yang dikatakan oleh orang di sekelilingnya, sekaligus menambahkan lagi bukti kebenarannya sebagai seorang nabi. Dalam hal yang biasa, kebiasaannya begitulah yang terjadi.[7] Tetapi, dia menidakkan dan mengatakan semua itu terjadi atas kehendak Allah dan tiada kaitan dengan kehendak manusia atau makhluk lainnya, walau bahkan berkaitan dengan kenabiannya.

KEMBALI KEPADA ISLAM

            Pada tahun 1977, Gary Miller berdebat dengan Ahmad Deedat dalam tajuk ‘Kristian dan Islam’. Bermula daripada titik ini, beliau mula membuka al-quran untuk mencari kesalahan tidak kira daripada aspek saintifik atau sejarah, mencari bukti untuk menarik orang islam memasuki Kristian. Namun, apa yang dijumpainya tidak seperti yang dijangkakannya. Dalam kitab ini, Gary menyangka akan membaca satu biografi berkenaan Nabi Muhammad SAW, khususnya tentang perjalanan dan kemenangan yang dilalui sepanjang hidupnya. Dia menjangka akan membaca satu buku yang ditulis 14 abad yang lalu, di mana maklumat di dalamnya telah lapuk sejajar dengan waktu ditulis, yang akan menceritakan tentang padang pasir dan kisah-kisah berkisar dengan kehidupan nabi Muhammad SAW. Ternyata dia salah. Dia kagum dengan penemuannya, membuatkan dia semakin bingung. Di dalam al-quran, dia menemui satu surah yang dinamakan ‘Mary’ (Maryam) yang mengisahkan kisah Maryam yang langsung tiada disebut di dalam mana-mana kitab bible. Tidak pula dia menemui surah yang dinamakan Fatimah ra, anak kesayangan Rasulullah SAW atau Aisyah ra, isteri kesayangan Rasulullah SAW. Dia bahkan menemui kenyataan nama nabi Isa disebut sebanyak 25 kali di dalam al-quran manakala Nabi Muhammad SAW hanya disebut sebanyak 4 kali, sebahagian riwayat mengatakan 5 kali. Gary kemudian menjadi semakin bingung. [8] Dia seorang yang jujur dan mencari kebenaran dengan sebenar-benar pencarian. Semasa perdebatannya dengan Ahmad Deedat, banyak dia mengajukan kenyataan yang bernas dan positif, membuat ramai yang melihat perdebatan itu berharap agar Allah mengurniakannya hidayah untuk memasuki Islam. Allah itu Maha Mendengar.

            Penulisan dan kajian Gary Miller tulus dan telus, dan komentar-komentarnya positif, bahkan lebih baik daripada kebanyakan muslim lain yang menulis tentang al-quran. Dia menganggap al-quran sesuatu yang agung dan mencapai kesimpulan bahawa tidak mungkin ianya adalah tulisan makhluk.[9] Perkara pertama yang mengejutkan Prof Gary Miller ialah penggunaan bahasa dalam al-quran. Al-quran dengan terang mencabar orang-orang musyrikin untuk membuktikan bahawa Al-quran ini bukan daripada Allah.

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا

Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran? Kalau kiranya Al Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya. (An-nisa’ : 82)

Al-quran bahkan mencabar mereka untuk membuat satu surah yang menyerupai al-quran sekiranya mereka mampu.

وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ وَادْعُوا

شُهَدَاءَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

23. Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang Al Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surat (saja) yang seperti Al Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. (Al-Baqarah : 23) 

Menurut Prof Gary Miller, tiada satu bukupun di dunia ini yang mencabar pembacanya untuk mencari kesalahan di dalamnya. Penulis kebiasaannya akan meminta maaf di atas kekurangan dan ralat yang terdapat di dalam buku tulisannya, namun tiada seorang pun penulis dengan yakin mengatakan bukunya itu sempurna dan tidak mempunyai kesalahan walaupun satu. Tiada seorang pun penulis, tiada satu pun buku kecuali Al-quran. Al-quran dengan terang-benderang mencabar sesiapa yang mampu menunjukkan kesalahan dalam al-quran, namun sehingga kini, tiada seorang pun yang dapat melakukan perkara tersebut.[10]

Ada juga para Orientalis yang menuduh Al-Quran ini sebenarnya ilmu yang diturunkan oleh syaitan kepada Nabi Muhammad SAW. Prof Gary Miller mengatakan sekiranya benar, mengapa di dalam al-quran itu terdapat ayat seperti ini. 

وَمَا تَنَزَّلَتْ بِهِ الشَّيَاطِينُ

210. Dan Al Quran itu bukanlah dibawa turun oleh syaitan-syaitan. (Asy-syu’ara’ : 210)

Dan mengapa ayat yang ‘diturunkan oleh syaitan’ ini turut meminta dijauhkan daripada syaitan setiap kali ketika hendak membacanya?

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

98. Apabila kamu membaca Al-Quran hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk. (An-nahl : 98)

Tidakkah anda melihat? Adakah ini caranya syaitan menulis sesebuah kitab? Bagaimana Baginda boleh menulis Al-Quran kemudian memberitahu umatnya untuk meminta kepada Tuhan untuk perlindungan dari syaitan sebelum membaca Al Quran? Ini adalah ayat-ayat ajaib dalam kitab yang ajaib, dan ia mempunyai jawapan yang logik untuk orang-orang yang berfikir secara sambil lewa dan mengatakan bahawa ia adalah dari syaitan.

Dan di antara cerita-cerita yang membuatkan kekaguman Dr Miller adalah kisah Nabi (SAW) dengan Abu Lahab. Dr Miller berkata:

"Dia (Abu Lahab) yang sangat membenci Islam akan pergi kepada Nabi Muhammad SAW di mana sahaja baginda pergi untuk memalukan baginda. Jika dia melihat Nabi bercakap dengan orang yang tidak dikenali, dia akan menunggu sehingga baginda selesai dan kemudian bertanya kepada mereka: Apa yang Muhammad memberitahu anda? Jika baginda berkata ia putih maka ia adalah hitam dan jika beliau berkata ia adalah malam maka ia adalah siang. Dia bertujuan untuk memalsukan semua apa yang Nabi katakan dan untuk membuat orang yang curiga kepada baginda. Dan 10 tahun sebelum kematian Abu Lahab, sebuah surah telah diilhamkan kepada Nabi, yang dinamakan "Al-Masad". Surah ini menceritakan bahawa Abu Lahab akan masuk neraka, dalam erti kata lain, ia mengatakan bahawa Abu Lahab tidak akan memeluk agama Islam.

Selama 10 tahun, Abu Lahab boleh berkata: "Muhammad mengatakan bahawa saya tidak akan menjadi seorang Muslim dan saya akan pergi ke neraka, tetapi saya memberitahu anda sekarang bahawa saya mahu menukar kepada Islam dan menjadi seorang Muslim. Apa yang anda fikir mengenai Muhammad ini? Adakah dia (baginda s.a.w) mengatakan kebenaran atau tidak? Adakah surah ini datang dari Allah? Tetapi Abu Lahab tidak berbuat demikian yakni memeluk Islam walaupun dia mengingkari Nabi Muhammad SAW di dalam semua perkara, tetapi tidak dalam perkara ini ( kekafiran Abu Lahab di dalam surah Al Masad ). Dalam erti kata lain, baginda telah memberi Abu Lahab peluang untuk membuktikan baginda salah! Tetapi Abu Lahab tidak melakukan apa-apa sepanjang 10 tahun!

Dia tidak memeluk agama Islam dan tidak juga berpura-pura menjadi seorang Muslim. Sepanjang 10 tahun, dia mempunyai peluang untuk menghancurkan Islam dalam satu minit. Tetapi ini tidak berlaku kerana Al Quran bukanlah kata-kata Muhammad SAW, tetapi kata-kata Tuhan yang Maha Mengetahui apa yang tersembunyi dan Maha Mengetahui bahawa Abu Lahab tidak akan menjadi seorang Muslim.

“Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal” ( Al Masad: 1-5 )

Dr Miller berkata tentang ayat yang membuatkan dia kagum kepada Al Quran: “Salah satu keajaiban dalam Al-Quran adalah sesuatu yang mencabar masa depan dengan perkara-perkara yang manusia tidak boleh ramalkan dan "Ujian Pemalsuan" digunakan, ujian ini terdiri daripada mencari kesilapan sehingga perkara yang sedang diuji terbukti betul. Sebagai contoh, mari kita lihat apa kata al-Quran mengenai hubungan antara orang Islam dan Yahudi. Al-Quran mengatakan bahawa orang Yahudi adalah musuh utama bagi umat Islam dan ini adalah benar. Sehingga kini ,musuh utama umat Islam adalah orang-orang Yahudi.”

Dr Miller meneruskan: “Ini dianggap satu cabaran yang besar kerana orang-orang Yahudi mempunyai peluang untuk merosakkan Islam hanya dengan bergaul dengan orang Islam dengan cara yang mesra untuk beberapa tahun dan kemudian berkata: di sini kita bergaul dengan anda sebagai kawan dan Al-Quran mengatakan bahawa kita adalah musuh, Al-Quran ini salah! Tetapi ini tidak berlaku pada 1400 tahun! Dan, ia tidak akan berlaku kerana ini adalah firman dari Tuhan Yang Esa yang Maha Mengetahui bukannya kata-kata manusia.”

Dr Miller meneruskan: “Bolehkah anda melihat bagaimana ayat yang menceritakan akan permusuhan antara orang Islam dan orang-orang Yahudi merupakan satu cabaran kepada minda manusia?”

“Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya kami ini orang Nasrani". Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri. Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Quran) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata: "Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Quran dan kenabian Muhammad s. a. w.) Mengapa kami tidak akan beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang datang kepada kami, padahal kami sangat ingin agar Tuhan kami memasukkan kami ke dalam golongan orang-orang yang saleh?" (Al-Ma’idah : 82-84)

Ayat ini menyentuh hati Dr Miller kerana dia merupakan seorang Kristian tetapi apabila dia mengetahui kebenaran, dia beriman dan memeluk agama Islam. Semoga Allah merahmati beliau.[11]

49. Itu adalah di antara berita-berita penting tentang yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); tidak pernah kamu mengetahuinya dan tidak (pula) kaummu sebelum ini. Maka bersabarlah; sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (Hud : 49)

Beliau mengatakan tiada tulisan yang menggunakan gaya penulisan sedemikian rupa, yang mana ia memberi sang pembaca satu maklumat dan mengatakan bahawa ia adalah maklumat baru yang belum diketahui oleh sesiapapun. Sekiranya orang Makkah pada ketika itu, berpura-pura mengatakan mereka mengetahui ilmu tersebut, atau salah seorang ulama’ mengatakan ilmu ini telah diketahui, namun ini tidak terjadi sama sekali.

            Prof Gary Miller mengatakan terdapat satu seksyen dalam Ensiklopedia Katolik yang terkini yang bertajuk ‘Quran’. Dia mengatakan walau terdapat banyak kajian dan penyelidikan dilakukan, dan banyak cubaan untuk menyerang kemurnian Al-quran, tiada satu pun berjaya. Pihak gereja sendiri tidak berani mengutarakan teori yang tidak berasas tetapi tetap tidak dapat menerima tentang teori Muslim yang mengatakan bahawa Al-quran itu tanpa diragui lagi adalah kalimah Allah yang diturunkan kepada manusia melalui perantara Jibril as dan disampaikan oleh rasulNya, Nabi Muhammad SAW. Prof Gary Miller yang mengetahui kebenaran ini jujur pada dirinya sendiri dan memilih jalan yang betul. Semoga Allah merahmatinya dan sesiapa sahaja yang mencari kebenaran dan tidak dikaburi oleh sifat prejudis yang menghalang mereka untuk sampai kepada kebenaran itu sendiri.[12] Wallahu‘alam.

KAJIAN PROF GARY MILLER

            Selepas memeluk Islam pada 1987 dan menukar namanya kepada Abdul Ahad Omar, beliau terus mengkaji tentang al-quran dengan lebih mendalam lagi, dan menulis beberapa buku tentang kajiannya. Terdapat banyak kajian yang dilakukannya, antara yang terkenal sehingga hari ini ialah buku ‘The Amazing Quran’ or ‘The Stunning Quran’. Dalam buku ini, terdapat banyak hujah yang diutarakan untuk menjelaskan betapa agungnya Al-Quran ini, dan disokong dengan bukti-bukti yang menerangkannya dari segi saintifik.

BUKU “THE AMAZING QURAN

            Satu perkara yang mengejutkan orang bukan Islam yang meneliti al-Quran dengan teliti adalah bahawa Quran tidak seperti apa yang mereka harapkan. Apa yang mereka sangka adalah sebuah buku lama yang datang empat belas abad yang lalu, dari padang pasir Arab; dan mereka menjangkakan bahawa buku itu sepatutnya kelihatan seperti itu - sebuah buku lama dari padang pasir. Dan kemudian mereka mengetahui bahawa ia tidak menyerupai apa yang mereka harapkan sama sekali. Bahkan, salah satu perkara pertama tanggapan sesetengah orang adalah kerana ia merupakan buku lama yang berasal dari padang pasir, ia harus membincangkan tentang padang pasir. Al-Quran ada membicarakan tentang padang pasir - beberapa gambarannya tentang padang pasir; tetapi ia juga membincangkan tentang laut - bagaimana ia menjadi ribut di laut.[13]

           Pendekatan saintifik kepada Al-Quran

            Pendekatan saintifik dalam Al-Quran bukanlah sesuatu yang mustahil kerana Al-Quran menawarkan sesuatu yang tidak terdapat dalam kitab agama lain khasnya, dan agama lain, secara amnya. Inilah yang dikehendaki oleh para saintis. Hari ini, terdapat ramai orang yang mempunyai idea dan teori tentang bagaimana alam semesta berfungsi. Golongan ini terdapat di merata tempat, tetapi komuniti saintifis bahkan tidak mengambil peduli untuk mendengar hujah mereka. Ini kerana sejak permulaan abad ini, masyarakat saintifis ini meminta bukti untuk setiap ujikaji yang dijalankan. Mereka berkata, "Jika anda mempunyai teori, jangan persembahkan kepada kami melainkan jika anda membawa bersama teori itu cara untuk membuktikan sama ada anda salah atau tidak."

            Mereka mula mendengar teori Einstein hanya apabila beliau melepasi ujian ini. Dia datang dengan teori baru dan berkata, "Saya percaya alam semesta ini berfungsi seperti ini; dan di sini ada tiga cara untuk membuktikan adakah saya salah!" Oleh itu, masyarakat saintifis pun menguji teorinya dengan tiga ujikaji tersebut, dan dalam tempoh enam tahun ia telah melepasi ketiga-tiganya. Sudah tentu, ini tidak membuktikan bahawa dia hebat, tetapi ia membuktikan bahawa dia sepatutnya didengarkan kerana dia berkata, "Ini adalah idea saya; dan jika anda mahu cuba membuktikan saya salah, lakukan ini atau itu. "

            Inilah yang terdapat di dalam al-Quran, ujian pengesahan. Sesetengahnya ada telah berlaku, menunjukkan ianya telah terbukti benar, dan ada yang masih wujud hingga ke hari ini. Ia menyatakan, "Jika buku ini bukan agung seperti yang dikatakannya, maka apa yang perlu anda lakukan adalah ini atau ini atau ini untuk membuktikan bahawa ia adalah palsu." Sudah tentu, dalam 1400 tahun tidak ada yang dapat melakukan ‘Ini atau ini atau ini’ dan dengan itu ia masih dianggap benar dan sahih.

           Tanya Mereka yang Mempunyai Pengetahuan

            Perkara lain yang menarik yang terdapat di dalamnya ialah Al-Quran berulang kali memberi nasihat kepada pembaca. Al-Quran memberitahu pembaca tentang fakta-fakta yang berbeza dan kemudian memberikan nasihat: "Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang ini atau itu, atau jika anda meragui apa yang dikatakan, maka anda harus bertanya kepada orang-orang yang mempunyai pengetahuan." Ini juga merupakan sikap yang mengejutkan . Perkara ini tidak biasa untuk mempunyai buku yang berasal dari seseorang tanpa latihan dalam bidang geografi, botani, biologi, dan lain-lain, yang membincangkan subjek-subjek ini dan kemudian menasihati pembaca untuk bertanya kepada orang-orang yang berpengetahuan jika dia meragui apa-apa. Namun, dalam setiap zaman ada orang Islam yang telah mengikuti nasihat Quran dan membuat penemuan mengejutkan. Jika seseorang melihat karya-karya saintis Muslim berabad-abad yang lalu, seseorang akan mendapati mereka banyak memetik dari Al-Quran. Kerja-kerja ini menyatakan bahawa mereka melakukan penyelidikan di suatu tempat dan mencari sesuatu. Dan mereka menegaskan bahawa sebab mereka mengkaji dengan lebih mendalam lagi adalah kerana Al-Quran menunjuk mereka ke arah itu.

            Sebagai contoh, Al-Quran menyebut asal-usul manusia dan kemudian memberitahu pembaca, "Kajilah itu!". Ia memberikan pembaca petunjuk di mana hendak melihat dan kemudian menyatakan bahawa seseorang itu harus mengetahui lebih lanjut mengenainya. Inilah perkara yang umat Islam hari ini kelihatannya terlepas pandang - tetapi tidak selalu, seperti digambarkan dalam contoh berikut.

Embriologi

            Beberapa tahun yang lalu, sekumpulan lelaki di Riyadh, Arab Saudi mengumpul semua ayat dalam al-Quran yang membincangkan tentang embriologi – proses permulaan pembesaran manusia dalam rahim. Mereka berkata, "Inilah yang dikatakan Al-Quran. Adakah ini benar?" Seperti hal ini, mereka turut mengambil nasihat daripada Quran: "Bertanyalah kepada orang yang arif.", dalam hal ini yang pakar dalam embirologi. Mereka memilih seorang professor yang juga merupakan seorang bukan islam yang merupakan profesor embriologi di Universiti Toronto. Namanya adalah Keith Moore, dan dia adalah pengarang buku teks mengenai embriologi - pakar dunia mengenai subjek ini. Mereka menjemput beliau ke Riyadh dan berkata, "Ini adalah apa yang dikatakan Al-Quran tentang subjek anda. Betulkah? Apa yang boleh anda beritahu kami?”

            Sewaktu dia berada di Riyadh, mereka memberi setiap bantuan yang diperlukan dalam penterjemahan dan apa sahaja yang dia kehendaki. Dan dia sangat terkejut dengan apa yang dia dapati sehingga dia memperbaiki isi kandungan buku teksnya. Dalam edisi kedua bukunya, Before We Are Born,  di bahagian tentang sejarah embriologi, dia memasukkan beberapa bahan yang tidak ada dalam edisi pertama kerana apa yang dia dapati dalam Al-Quran itu sangat maju berbanding zaman ketika ia ditulis dan mereka yang percaya kepada Al-Quran tahu apa yang orang lain tidak tahu.

            Saya berpeluang menemubual Dr Keith Moore dalam salah satu rancangan televisyen, dan kami banyak bercakap tentang ini – yang mana turut dibantu dengan slaid dan sebagainya. Beliau menyebut bahawa beberapa perkara yang disebutkan oleh Al-Quran tentang pertumbuhan manusia tidak diketahui oleh masyarakat dunia sehinggalah tiga puluh tahun yang lalu. Malah, beliau mengatakan bahawa satu perkara khususnya - perihal Al-Quran tentang manusia sebagai "gumpalan seperti lintah" ('alaqah) [Ghafir 40:67] – adalah perkara baru kepadanya; tetapi apabila dia menyemaknya, dia mendapati bahawa ia adalah benar, dan oleh itu dia menambah maklumat itu ke dalam buku beliau. Beliau berkata, "Tidak pernah terlintas di benak saya selama ini.," dan dia pergi ke jabatan zoologi dan meminta gambar lintah. Dia mendapati bahawa ia kelihatan sama seperti embrio manusia, dan dia kemudian memutuskan untuk memasukkan kedua-dua gambar dalam salah satu buku teksnya.

            Walaupun contoh manusia yang meneliti maklumat yang terkandung di dalam Quran berkaitan dengan orang bukan Islam, ia masih sah kerana dia adalah salah seorang yang berpengetahuan dalam subjek yang diteliti. Sekiranya orang awam mendakwa bahawa apa yang dikatakan oleh Al-Quran tentang embriologi adalah benar, maka seseorang itu tidak semestinya harus menerima perkataannya. Walau bagaimanapun, kerana kedudukan tinggi, menghormati, dan menghargai manusia memberi para sarjana, secara semulajadi menganggap bahawa jika mereka menyelidik subjek dan sampai pada kesimpulan berdasarkan penyelidikan itu, maka kesimpulannya sah.

Reaksi Skeptik

            Dr. Moore juga menulis sebuah buku tentang embriologi klinikal, dan apabila dia menyampaikan maklumat ini di Toronto, ia menimbulakn sedikit kekecohan di seluruh Kanada. Di halaman depan beberapa akhbar di seluruh Kanada, dan beberapa berita utama agak lucu. Contohnya, satu tajuk dibaca: "MAKLUMAT MENGEJUTKAN DITEMUI DI DALAM SATU BUKU AGAMA PURBA!”. Jelas dari contoh ini bahawa orang tidak memahami dengan jelas tentang apakah semua ini. Seorang wartawan akhbar bahkan bertanya kepada Profesor Moore, "Tidakkah anda fikir mungkin orang-orang Arab mungkin mengetahui tentang perkara-perkara ini - gambaran embrio, penampilannya dan bagaimana ia berubah dan membesar? Mungkin mereka bukan saintis, mungkin mereka melakukan beberapa pembedahan kasar pada orang mereka sendiri – membedah dan meneliti benda-benda ini." Profesor segera menunjukkan kepadanya bahawa wartawan itu telah tertinggal satu point yang sangat penting - semua slaid embrio yang telah ditunjukkan dalam filem itu datang dari gambar yang ditangkap melalui mikroskop. Beliau berkata, “Tidak kira jika seseorang telah cuba menemui embriologi empat belas abad yang lalu, mereka tetap tidak dapat melihatnya!”

            Semua keterangan dalam al-Quran mengenai keadaan embrio adalah perkara yang terlalu kecil untuk dilihat dengan mata kasar; Oleh itu, seseorang memerlukan mikroskop untuk melihatnya. Oleh kerana peralatan tersebut hanya dicipta sekitar dua ratus tahun yang lalu, Dr Moore menafikan, “Mungkin empat belas abad yang lalu seseorang diam-diam mempunyai mikroskop dan melakukan penyelidikan ini, tidak membuat kesilapan di mana-mana. Kemudian dia mengajar Muhammad (ﷺ) dan meyakinkannya untuk meletakkan maklumat ini dalam bukunya. Kemudian dia memusnahkan peralatannya dan menyimpannya sebagai satu rahsia selama-lamanya. Adakah anda percaya itu? Jangan percaya melainkan anda membawa sebarang bukti sebab itu merupak teori yang sangat karut.” Kemudian ketika ditanya, “Bagaimana anda menjelaskan bagimana maklumat ini terdapat dalam Quran?” Jawapan Dr. Moore adalah, “Ini kerana ianya daripada Pencipta itu sendiri.” 

Geologi

            Salah seorang rakan sejawat Profesor Moore, Marshall Johnson, terlibat dengan geologi di University Toronto. Dia menjadi sangat berminat dengan hakikat bahawa pernyataan Al-Quran tentang embriologi adalah sangat tepat. Oleh itu, dia meminta umat Islam untuk mengumpul semua yang terkandung dalam al-Qur'an yang berkaitan dengan kepakarannya iaitu geologi. Sekali lagi orang ramai sangat terkejut dengan penemuan-penemuan yang terbaru. Oleh kerana terdapat banyak subjek yang dibincangkan dalam Al-Quran, ia tentu memerlukan sejumlah besar masa untuk membincangkan setiap subjek. Lebih daripada cukup untuk tujuan perbincangan ini bahawa Al-Quran membuat pernyataan yang sangat jelas dan ringkas tentang pelbagai subjek sambil memberi nasihat kepada pembaca untuk mengesahkan kesahihan pernyataan-pernyataan ini dengan penyelidikan oleh pakar dalam subjek tersebut. Dan seperti yang digambarkan oleh contoh-contoh embriologi dan geologi tadi, jelas Al-Quran tidak diragui kesahihannya.

Pekerja Marin

            Beberapa tahun lalu, di Toronto, hidup seorang pekerja marin yang bergantung hidup pada laut. Seorang muslim memberinya sebuah terjemahan Al-Quran untuk dibacanya. Sang pekerja tadi langsung tidak mengetahui tentang sejarah Islam namun berminat untuk membaca al-Quran. Apabila selesai membacanya, dia mengembalikan al-Quran tersebut kepada sahabat muslimnya dan bertanya, “Muhammad ini, adakah dia seorang pelaya?”. Dia terkesima dengan betapa tepatnya al-Quran menerangkan tentang ribut di laut. Ketika dia diberitahu, “Tidak, bahkan Muhammad ini tinggal di tengah-tengah gurun”, dan itu sahaja cukup untuk membuat dia memeluk islam pada saat itu juga. Dia sangat kagum dengan al-Quran kerana dia telah mengalami ribut di lautan dan dia tahu siapa sahaja yang menulis penerangan itu pasti pernah mengalami hal yang sama. Penerangan ‘yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan’ (Surah An-Nur 24:40), bukanlah bayangan seseorang tentang ribut di lautan tetapi oleh seseorang yang benar-benar tahu bagaimana keadaan itu sebenarnya. Ini adalah salah satu contoh menunjukkan al-Quran tidak terikat dengan mana-mana tempat dan masa, dan sudah tentu, penjelasan saintifik di dalamnya menunjukkan ianya bukan ditulis oleh seorang lelaki yang berasal daripada gurun 14 abad yang lalu.

Ini dan banyak lagi penjelasan tentang mukjizat al-Quran di dalam buku Dr Gary Miller ini.

PENUTUP

            Al-Quran sentiasa benar, sentiasa seiring dengan zaman tidak kira semaju mana pun teknologi yang dunia masa kini capai. Setiap satu teori atau penemuan yang ditemui oleh saintis kebelakangan ini, telah Allah turunkan di dalam kalamNya. Kita hanya perlu meneliti dengan lebih mendalam dan jitu lagi. Al-Quran bukan sahaja meliputi ilmu sains, namun juga semua jenis bidang ilmu yang terdapat manfaat padanya dan mampu mendekatkan lagi kita kepada Allah Subhanahu wa Taala. Wallahu‘alam.


RUJUKAN

 Al-Sakkar. M. M. (2004). Dr. Abdulwahid Omar - Gary Miller. Dipetik daripada http://en.themwl.org/hence-they-embraced-islam-dr-abdulwahid-omar-gary-miller

Dadach. Z. E. (2015 Nov). SCIENTIFIC FACTS IN QURAN. Dipetik daripada https://www.researchgate.net/publication/292970930_SCIENTIFIC_FACTS_IN_QURAN

Eduislam (2019, Februari 03). Dr Gary Miller, The Amazing Quran & His Journey To Islam (blog post). Dipetik daripada https://eduislamorg.blogspot.com/2019/01/Dr-Gary-Miller-The-Amazing-Quran.html

Gary Miller. Dipetik daripada https://themindfulmuslim.com/gary-miller

Gary Miller: The Man Who Challenged the Qur’an (2014, September 14). Dipetik daripada http://www.islamforchristians.com/gary-miller-man-challenged-quran/

HR Muslim. Hadis Gerhana Dan Wafatnya Ibrahim Ibn Muhammad. Jurnal Peradaban dan Hukum Islam. Vol.1 No.1. (58)

Miller, G. (1992). The Amazing Quran. Baltimore : Abul-Qasim Publishing House.

Mohd Noor, A. (2013, Mei 14). Kisah Dr Gary Miller Masuk Islam (Blog post). Dipetik daripada http://tranungkiteoffline.blogspot.com/2013/05/kisah-dr-gary-miller-masuk-islam.html

The Mathematician Who Challenged Quran, Professor Gary Miller's Journey to Islam. (2017, January 06). Dipetik daripada https://aboutislam.net/reading-islam/my-journey-to-islam/the-mathematician-who-challenged-quran/

(Disclaimer : This is for student research purpose only.)

[1] Dadach. Z. E. (2015 Nov). SCIENTIFIC FACTS IN QURAN. Dipetik daripada https://www.researchgate.net/publication/292970930_SCIENTIFIC_FACTS_IN_QURAN

[2] Gary Miller. Dipetik daripada https://themindfulmuslim.com/gary-miller

[3] Al-Sakkar. M. M. (2004). Dr. Abdulwahid Omar - Gary Miller. Dipetik daripada http://en.themwl.org/hence-they-embraced-islam-dr-abdulwahid-omar-gary-miller

[4] Al-Sakkar. M. M. (2004). Dr. Abdulwahid Omar - Gary Miller. Dipetik daripada http://en.themwl.org/hence-they-embraced-islam-dr-abdulwahid-omar-gary-miller

[5] Al-Sakkar. M. M. (2004). Dr. Abdulwahid Omar - Gary Miller. Dipetik daripada http://en.themwl.org/hence-they-embraced-islam-dr-abdulwahid-omar-gary-miller

[6] HR Muslim. Hadis Gerhana Dan Wafatnya Ibrahim Ibn Muhammad. Jurnal Peradaban dan Hukum Islam. Vol.1 No.1. (58)

[7] Al-Sakkar. M. M. (2004). Dr. Abdulwahid Omar - Gary Miller. Dipetik daripada http://en.themwl.org/hence-they-embraced-islam-dr-abdulwahid-omar-gary-miller

[8] Eduislam (2019, Februari 03). Dr Gary Miller, The Amazing Quran & His Journey To Islam (blog post). Dipetik daripada https://eduislamorg.blogspot.com/2019/01/Dr-Gary-Miller-The-Amazing-Quran.html

[9] Gary Miller: The Man Who Challenged the Qur’an (2014, September 14). Dipetik daripada http://www.islamforchristians.com/gary-miller-man-challenged-quran/

[10] The Mathematician Who Challenged Quran, Professor Gary Miller's Journey to Islam. (2017, January 06). Dipetik daripada https://aboutislam.net/reading-islam/my-journey-to-islam/the-mathematician-who-challenged-quran/

[11] Mohd Noor, A. (2013, Mei 14). Kisah Dr Gary Miller Masuk Islam (Blog post). Dipetik daripada http://tranungkiteoffline.blogspot.com/2013/05/kisah-dr-gary-miller-masuk-islam.html

[12] The Mathematician Who Challenged Quran, Professor Gary Miller's Journey to Islam. (2017, January 06). Dipetik daripada https://aboutislam.net/reading-islam/my-journey-to-islam/the-mathematician-who-challenged-quran/

A Reminder.

 Bismillah.

Haven’t write in ages. Just watching Youtube before maghrib. It’s a reminder by Nouman Ali Khan. So, I’m going to update the blog that I haven’t open in a very long time. The video mention about what have you done for the ummah today, and what you do today to please Allah. We don’t have that much time. I will try to update my blog often after this since this is one way how I can deliver something that I can do, by writing.

Menulis adalah hobi yang terbengkalai dan cita-cita yang lama ditinggalkan. Walhal, sejujurnya aku paling suka menulis dan membaca. Akan tetapi, diri sentiasa disibukkan dengan dunia dan melupakan hobi yang berfaedah ini. In sha Allah akan mencuba untuk istiqamah menulis lagi selepas ini. Nouman Ali Khan ada menyebut tentang masa yang terbuang, terutamanya dalam kehidupan anak muda sekarang. Terkesan juga.

The good thing is, apabila terasa maksudnya kita sedar diri bahawa itulah kelemahan kita. Sultan Muhammad Al-Fateh menawan kota Konstantinopel ketika berumur 21 tahun. Imam Syafie selesai menghafal al-quran pada umur 7 tahun dan kitab Muwatta’ pada umur 12 tahun. Begitu ramai tokoh-tokoh dalam dunia Islam yang mencapai pencapaian yang hanya mampu dikagumi. Diri sekerdil ini hanya mampu melakukan secubit cuma daripada jumlah sumbangan mereka terhadap dunia Islam.

Apabila kita bertanya pada diri apakah yang boleh kita sumbangkan untuk umat Islam sekarang, jawapan untuk soalan ini sangat subjektif. Ini kerana setiap orang berbeza kebolehan dan kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT. Asah ia sehingga menjadi yang terbaik dalam bidang masing-masing dan kembali berkhidmat kepada masyarakat dengan sepenuh hati. Itulah yang boleh kita lakukan. Nabi Muhammad SAW menyuruh kita untuk memilih pekerjaan yang sangat diperlukan pada zaman kita hidup. Tidak semestinya kita bekerja dalam sektor agama, kerana kehidupan manusia ini meliputi segala aspek dan agama Islamlah yang paling syumul dan melengkapi segala keperluan dalam kehidupan manusia.

Jangan persoalkan dan memandang rendah pada diri! Cubalah dengan sehabis baik, sehingga di hadapan Allah kelak kita mampu menjawab, “Aku telah mencuba sebaik yang mungkin, ya Allah!”. Ini kerana, kehidupan kita adalah satu perjalanan. Islam is a journey. Perjalanan yang kita tidak tahu apa akan dilalui dan apa penghujung ceritanya. Apa yang penting, sepanjang perjalanan tersebut kita mesti berpegang dengan dua benda iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah. Perjalanan ini hanya Allah yang tahu liku-likunya, dan semoga Allah memberikan nikmat terbesar supaya dapat melihatNya kelak di sana. Amin ya Rabbal alamin.

Salam Maghrib.



Busyra.

Wednesday, July 1, 2020

SLUMP

Bismillah.

            Setiap kali mahu menaip, pasti ada sahaja yang menghalang. Tidak kira sama ada benak yang tiba-tiba membeku atau tangan yang tiba-tiba menjadi kaku. Tidak sedar, perlahan-lahan buku ditutup. Perlahan-lahan halaman laptop ditukar ke benda lain. Terlalu banyak benda lain yang boleh menghilangkan fokus, terutamanya smart gadget nowadays. Bila niat di awal pagi hendak menulis, tetapi tangan secara automatik akan mencapai telefon pintar dan semua akaun media sosial dibuka satu persatu, membuat terlupa niat asalnya. Semangat membuka laptop, katanya mahu menambah sehelai dua draft cerita yang terbengkalai, tetapi yang dibuka adalah drama atau klip-klip lagu. Aduhai!

            Alasan diri ada sahaja aral melintang. Tiada mood, cuaca tidak sesuai (bagi aku ini sangat mempengaruhi), tiada peralatan, tiada tempat yang kena di hati. Ada sahaja. Benarlah kata pepatah, ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Akhirnya putus asa dengan diri sendiri. Umpama putus asa dengan segala benda lain di dunia ini. Tidak berguna. Tidak ke mana-mana. Tidak melangkah. Tiada hala tuju. Namun, tersentak seketika kemudian.

            Allah tidak pernah putus asa terhadap hambaNya yang sentiasa ingat untuk kembali kepadaNya. Nabi Muhammad SAW juga tidak pernah berputus asa dalam dakwahnya mengajak umat manusia kepada kebenaran. Putus asa dan perasaan sedih atau down itu normal. Apatah lagi bagi seorang perempuan. Tapi, ingat, Allah sentiasa ada. Di sana menunggu engkau menadah tangan, tidak kiralah untuk meluah atau meminta atau sekadar ingin menangis. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

            Mintalah dengan Allah, semoga diringankan tangan untuk menulis, dimudahkan untuk mengeluarkan idea-idea dalam kepala ke atas pena (tidak kira analog atau digital). Dan dikabulkan doa-doa yang dilafaz dan tidak terlafaz. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang.


Wednesday, January 17, 2018

FILEM NOAH (2014)


Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan namaNya, demi namaNya.
Noah ialah sebuah filem Hollywood arahan Darren Aronofsky yang mengambil kisah Noah daripada Bible sebagai latar belakang ceritanya, atau lebih kita kenali dengan nama Nuh. Filem ini tidak ditayangkan di kebanyakan negara Islam kerana jalan ceritanya yang bertentangan sama sekali dengan kisah Nabi Nuh alaihis salam. Tindakan ini ialah jalan yang terbaik (bagi saya) kerana yang menonton filem tersebut tidak semua mempunyai ilmu pengetahuan asas tentang kisah Nabi Nuh as, dan filem tersebut boleh menyesatkan lagi jiwa-jiwa yang bodoh. Ya, bukan jiwa yang jahil tapi jiwa yang bodoh. Jahil kerana mereka tidak tahu. Bodoh kerana mereka tidak ingin mengambil tahu. Kadang ianya lagi selamat untuk menutup sama sekali daripada membuka dengan alasan untuk berfikir, kerana tidak semuanya berfikir. Saya menonton kerana ingin tahu tentang jalan cerita filem tersebut, dan mendapat tahu bahawa Aronofsky tidak mengambil Bible sebagai rujukan utamanya, bahkan kebanyakan daripada filem tersebut adalah benda yang dikarangnya sendiri untuk membuat jalan cerita lebih rancak dan menarik. Namun, dia mengubah sampai ke tahap sesetengah penganut setia Kristian turut mengkritik kerjanya yang sangat jauh daripada cerita yang disebut di dalam Bible.
Orang yang melihat perbezaan filem ini dengan Bible, dan saya yang melihat perbezaan antara filem ini, Bible dan juga kisah Nabi Nuh as yang diajar oleh Nabi kita, Muhammad saw, and I cant just stand there without doing nothing but to come forward and state the differences from our side, I mean what I know from my side. Apa yang saya tulis di sini ialah hasil daripada penelitian saya, sekiranya ada pendapat atau komen atau kritik, saya sedia menerimanya.
Dalam filem tersebut, Noah bukanlah seorang yang rapat dengan ‘The Creator’, (they didn’t state as a God, just a Creator). Tetapi di dalam Bible, Noah ialah seorang yang rapat dengan Tuhan.
But in Genesis 6-8, much of the account involves direct communication from God to Noah (see 6:13; 7:1; 8:15). Noah was God’s close friend, and he understood Him.
Sama seperti di dalam agama kita, Islam yang menyatakan bahawa Nabi Nuh ialah salah seorang daripada nabi Allah yang wajib kita imani.
‘Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya (dengan perintah), “Berilah kaummu peringatan sebelum datang kepadanya azab yang pedih”.’ (Surah Nuh ayat 1)
Kenyataan ini membawa kita kepada perbezaan seterusnya, bahawa menurut Al-quran Nabi Nuh memberi peringatan kepada kaumnya tentang azab yang akan datang, bererti terdapat sekelompok umat yang tinggal bersama Nabi Nuh as. Bukan seperti yang ditayangkan di filem tersebut, Noah hanya tinggal bersama keluarganya.
Sebagai salah seorang Nabi Allah, Nabi Nuh menerima perintah Allah dengan jalan wahyu. Aronofsky menggambarkan Noah yang meminum teh yang diberi oleh datuknya, Methuselah, for recalled what he missed in his dream about the global catastrophe. Bible juga menyatakan bahawa Noah tidak memerlukan sesuatu seperti minuman yang mengkhayalkan untuk dia menerima perintah daripada Tuhan.
Setelah bahtera selamat belayar, dikatakan raja yang jahat bernama Tubal-cain berjaya naik ke bahtera ini secara curi-curi. Bible sahaja menidakkan perkara ini, apatah lagi Al-quran yang menyatakan bahawa yang selamat menaiki bahtera ini ialah Nabi Nuh, keluarga dan kerabat Nabi Nuh yang beriman, dan pengikut-pengikutnya yang seramai 83 orang yang beriman kepada Allah. (ada pula pendapat mengatakan 50 lelaki, 50 perempuan). Filem ini menyatakan isteri Noah, Naameh turut berbincang tentang bahtera itu dan mengambil peranan besar dalam cerita ini. Bible pula hanya menyebut tentang isteri Noah dan dia adalah salah seorang yang menaiki bahtera tersebut. Dalam Islam pula menyatakan sebaliknya, isteri Nabi Nuh adalah salah seorang daripada pengikut yang mungkar pada perintah Allah, ada pendapat yang mengatakan bahawa isteri Nabi Nuh sendiri memanggil suaminya gila ketika Nabi Nuh menyeru kaumnya kembali kepada agama tauhid.
‘The Watcher’ ialah malaikat yang dihukum menjadi makhluk seperti batu setelah mereka dijatuhkan ke bumi, dengan niat mereka kononnya hendak membantu manusia di bumi. Makhluk inilah yang digambarkan membantu Noah membina bahteranya. Bahtera ini dibuat daripada kayu yang didapati daripada hutan yang muncul dalam masa sehari setelah Noah menanam biji benih yang diberi oleh Methuselah (daripada garden of eden).
Daripada sudut pandang Bible ;
Noah didn’t get help from giant rock creatures when he built the ark.
Aronofsky borrowed this weird concept from ancient Jewish mystics who suggested that the angels God cast out of heaven after creation were encased in rock and walked around helping human beings. In Noah, the giants, called “watchers,” chop down the wood for the massive ark and defend it from an invading army. All this made for some great digital effects, but the Bible says God cast these disobedient angels into hell (2 Pet. 2:4), not to earth, and they certainly weren’t sent here to help mankind.
Also, ‘While there are no rock monsters in the Bible, the section right before the flood does say, “There were giants in the earth in those days”.’
Daripada sudut pandang Islam, yang menolong Nabi Nuh ialah daripada kalangan pengikutnya yang beriman juga, dengan mendapat petunjuk daripada Allah melalui Malaikat Jibril alaihis salam. Malaikat Jibril juga yang memberi benih kayu dari syurga kepada Nabi Nuh untuk ditanam di puncak bukit.
Dan dalam perbezaan yang sangat banyak, salah satu yang paling tidak dapat dipersetujui sama ada oleh Bible atau Al-quran ialah fahaman Noah kononnya The Creator telah mengabaikan manusia kerana menyesal dengan sifat manusia yang pemusnah dan bertekad untuk menghapuskan populasi manusia di bumi sama sekali. Bible mengiyakan bahagian Tuhan menyesal menciptakan manusia yang berbuat kerosakan (In the biblical text, God is sorry that he’s created humankind and responds to their earthly violence with spectacular brutality, which is successfully tempered by the Bible’s spare language and detail.), namun menidakkan tentang Noah yang tidak menginginkan wujudnya manusia di muka bumi (The biblical Noah would never have tried to prevent repopulation. Noah understood he and his family had been commissioned to replenish the earth (Gen. 9:1).).
Al-quran bertentangan sama sekali dengan apa yang dibawa oleh filem arahan Aronofsky ini. Allah tidak pernah menyesal menciptakan manusia, dan ketika para malaikat mempersoalkan kenapa Allah menciptakan manusia padahal mereka berbuat kerosakan di muka bumi, Allah menyatakan dalam Kalam-Nya ;
‘dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan Khalifah di bumi.” Mereka (para malaikat) berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih, memujiMu dan menyucikan namaMu?”. Dia berfirman, “Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.’ (Surah Al-Baqarah ayat 30)
Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.(Surah Yusuf ayat 87)
Allah tidak akan menurunkan rahmat kepada umat manusia yang diabaikannya, namun dengan terang Allah menyatakan dalam Al-quran larangan berputus asa daripada rahmatNya. Satu-satunya bentuk pengabaian Allah ialah ketika manusia tidak lagi kembali kepadaNya, ketika manusia tidak mengingatiNya. Apabila manusia hanya mengingatiNya ketika susah dan melupakanNya ketika senang.
Dan apabila Kami berikan kesenangan kepada manusia nescaya berpalinglah dia; dan membelakang dengan sikap yang sombong; dan apabila dia ditimpa kesusahan nescaya dia berputus asa.(Surah Al-Israa’ ayat 83)
Dan yang terakhir, Noah di dalam filem tersebut menolak semua orang kecuali keluarganya untuk menaiki bahteranya (digambarkan orang yang tidak menaiki bahtera tersebut ada yang tidak bersalah atau berdosa). Hal ini bertentangan sama sekali dengan kisah Nabi Nuh dalam islam. Nabi Nuh tidak pernah berputus asa daripada mengajak kaumnya untuk beriman kepada Allah. Tidak sesaat dia penat untuk berdakwah mengajak kepada ketauhidan Yang Maha Esa. Namun, kaumnya terang-terang menolak ajarannya dengan menuduhnya gila dan tidak waras. Nabi Nuh setia pada perintah Allah untuk berdakwah kepada kaum yang lupakan diri dan Tuhan itu, sehinggalah Allah mengkhabarkan bahawa tidak berguna lagi dia menyeru walau beribu tahun kerana hati kaumnya telah dibutakan sepenuhnya oleh Syaitan.
‘dan diwahyukan kepadanya (Nuh), “ketahuilah, kaummu tidak akan beriman, kecuali orang yang benar-benar beriman (sahaja), oleh itu janganlah engkau bersedih hati tentang apa yang mereka perbuat. Dan buatlah kapal itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami, dan janganlah engkau bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang zalim. Sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan”.’ (Surah Hud ayat 36 & 37)
Dan akhirnya kaum yang terlaknat itupun ditenggelamkan oleh banjir yang dimuntahkan bumi dan hujan lebat yang turun dari langit yang diperintahkan oleh Allah kecuali orang-orang yang beriman yang selamat di atas bahtera Nabi Nuh as. Terlalu banyak pendapat berbeza tentang berapa lama banjir besar ini melanda, dan juga di mana mendarat setelah surutnya banjir besar ini. Setiap satu berbeza sesama lain.
Betullah kiranya tindakan negara-negara Islam untuk block filem-filem seperti ini. Question of the day, walaupun sedemikian kenyataannya, kenapa majoriti masyarakat kita sama sahaja dengan atau tanpa masuknya wayang ini ke layar perak negara? Mungkin, mungkin sahaja ada orang yang menontonnya dan tertarik untuk mengkaji dengan lebih dalam lagi. Mungkin! Seperkara lagi yang menjadi pertanyaan dalam benak saya, sekiranya orang local yang membuat filem sebegini, bagaimana agaknya respon penonton? Pasti akan mendapat tamparan yang maha dashyat daripada masyarakat. Well, one thing for sure, in Islam we're not allowed to improvised the knowledge from Al-quran and hadith without the right source. One thing about knowledge is the limitless boundary of how vast it is, but everything is in their own cage. Sometimes there are things better not knowing than knowing but don't know what to do with it or worse, doing something bad by knowing it.

references :
1. Al-Quran dan tafsir

One and truly, Empress Bee.