Friday, October 23, 2020

Prof Ahad Omar (before reverted Prof Gary Miller)



 PENGENALAN

            Al-Quran bukanlah satu buku yang menerangkan tentang sains, namun ianya bertepatan dengan penemuan-penemuan sains yang lama ataupun terkini.[1] Tentang menaksir sains dengan al-quran, atau al-quran dengan interpretasi sains, pandangan terbahagi kepada dua. Ada pendapat sesetengah ilmuwan mengatakan tidak boleh dan tidak membenarkannya, namun ada sesetengah yang lain membenarkan, bahkan mengeluarkan banyak karya berkenaan perkara ini. Dunia islam bermula dari zaman kegemilangannya tidak pernah ketinggalan dalam melahirkan tokoh-tokoh dalam semua bidang ilmuwan, termasuklah disiplin ilmu ini iaitu al-quran dengan pendekatan sains. Antara tokoh-tokoh yang terkenal ialah Dr Maurice Bucaille, Dr Zaghlul Najar, Abdus Salam, Dr Ali Mansour Kayali, Abdul Daem Al-Kaheel, Muzaffar Iqbal dan ramai lagi. Kertas kerja ini khususnya membincangkan tentang Dr Gary Miller yang kemudiannya masuk Islam kerana kagum dengan mukjizat Al-Quran, yang menukar namanya kepada Abdul Ahad Omar. Wallahu‘alam.

LATAR BELAKANG

            Gary Miller membesar di Kanada, di mana beliau bersekolah di sekolah Francisan Catholic. Dia kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang teologi di Universiti Jesuits. Dengan kebijaksanaan dan kepetahannya, dia menjadi seorang mubaligh Kristian yang aktif di gereja-gereja dan juga di kaca televisyen selama 15 tahun.[2] Beliau kemudian mengambil PhD dalam bidang matematik di Universiti Toronto. Gary Miller yang sememangnya mempunyai fikiran yang berlandaskan logik tidak dapat menerima apa yang diajarkan oleh paderi Katolik dan kemudian berpindah kepada Kristian Protestan. Selama sembilan tahun beliau bertanya dari satu gereja ke gereja yang lain tetapi tidak mendapat jawapan yang memuaskan hati dan benaknya.[3]

            Pernah dia bertanya kepada paderi-paderi, “Siapakah ayah kepada Jesus?”, dan mereka menjawab, “God!”, lalu dia bertanya semula, “Lalu, siapakah ibunya?”. Mereka menjawab, “Mary!”. Dia mengejutkan mereka dengan bertanya, “Adakah ini bermaksud God mengahwini Mary dan melahirkan Jesus?”, mereka menjawab, “Tidak, jangan katakana sedemikian rupa! God tidak mengahwini Mary.”. Gary kemudian bertanya, “Jadi, adakah God dan Mary melahirkan Jesus di luar ikatan pernikahan?”. Paderi-paderi itu tergamam dan menundukkan kepala mereka. Gary kemudian bertanya lagi kepada mereka, sekiranya mereka dapat menunjukkan walau satu ayat dalam bible di mana Christ menceritakan tentang ketuhanannya atau ketuhanan yang tiga. Sekali lagi mereka terdiam dengan pertanyaan Gary. Bertahun-tahun Gary mempersoalkan tentang Kristian dan masih tidak mendapat jawapan yang dikehendakinya.[4]

            Allah mengkehendaki yang terbaik untuknya. Gary kemudiannya banyak membaca tentang penulisan orientalis barat tentang islam dan Nabi Muhammad SAW. Dari bacaannya ini, dia sampai ke satu kesimpulan iaitu orang barat bersepakat untuk menolak kenabian Muhammad SAW. Tetapi, mereka tidak jelas dalam penolakan tersebut, kerana tidak disertai dengan hujah dan bukti yang kukuh, lantas hanya menuduh Nabi Muhammad SAW sebagai gila ataupun penipu. Gary berfikir, mustahil untuk dua sifat ini berkumpul dalam satu individu. Dia sama ada seorang yang bijak dan pandai menipu orang untuk mempercayai kenabiannya, ataupun seorang yang gila yang tidak menyedari perbuatan dan percakapannya.[5]

            Biografi Nabi Muhammad SAW menafikan kedua-dua pendapat di atas. Gary juga turut membaca tentang pandangan orientalis ini, antaranya ialah Orientalis Yahudi Perancis, Maxime Rodinson yang di dalam bukunya menceritakan tentang Nabi Muhammad dari perspektif mereka. Namun, cerita-cerita di dalamnya yang menarik perhatian Gary. Salah satu cerita tersebut ialah cerita ketika terjadinya gerhana matahari ketika anak Nabi Muhammad SAW yng bernama Ibrahim meinggal dunia. Sahabat mengatakan telah terjadi gerhana matahari kerana meningalnya Ibrahim, lalu Rasulullah menjawab, “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah termasuk dari tanda-tanda kebesaran Allah, gerhana terjadi pada keduanya bukan kerana kematian seseorang dan tidak juga kerana kehidupan seseorang.”[6] Bagi Gary Miller, jawapannya itu sahaja adalah bukti terkukuh bahawa dia bukanlah seorang penipu ataupun seorang yang gila. Kerana, dalam kes tersebut, boleh sahaja dia bersetuju dan mengiyakan apa yang dikatakan oleh orang di sekelilingnya, sekaligus menambahkan lagi bukti kebenarannya sebagai seorang nabi. Dalam hal yang biasa, kebiasaannya begitulah yang terjadi.[7] Tetapi, dia menidakkan dan mengatakan semua itu terjadi atas kehendak Allah dan tiada kaitan dengan kehendak manusia atau makhluk lainnya, walau bahkan berkaitan dengan kenabiannya.

KEMBALI KEPADA ISLAM

            Pada tahun 1977, Gary Miller berdebat dengan Ahmad Deedat dalam tajuk ‘Kristian dan Islam’. Bermula daripada titik ini, beliau mula membuka al-quran untuk mencari kesalahan tidak kira daripada aspek saintifik atau sejarah, mencari bukti untuk menarik orang islam memasuki Kristian. Namun, apa yang dijumpainya tidak seperti yang dijangkakannya. Dalam kitab ini, Gary menyangka akan membaca satu biografi berkenaan Nabi Muhammad SAW, khususnya tentang perjalanan dan kemenangan yang dilalui sepanjang hidupnya. Dia menjangka akan membaca satu buku yang ditulis 14 abad yang lalu, di mana maklumat di dalamnya telah lapuk sejajar dengan waktu ditulis, yang akan menceritakan tentang padang pasir dan kisah-kisah berkisar dengan kehidupan nabi Muhammad SAW. Ternyata dia salah. Dia kagum dengan penemuannya, membuatkan dia semakin bingung. Di dalam al-quran, dia menemui satu surah yang dinamakan ‘Mary’ (Maryam) yang mengisahkan kisah Maryam yang langsung tiada disebut di dalam mana-mana kitab bible. Tidak pula dia menemui surah yang dinamakan Fatimah ra, anak kesayangan Rasulullah SAW atau Aisyah ra, isteri kesayangan Rasulullah SAW. Dia bahkan menemui kenyataan nama nabi Isa disebut sebanyak 25 kali di dalam al-quran manakala Nabi Muhammad SAW hanya disebut sebanyak 4 kali, sebahagian riwayat mengatakan 5 kali. Gary kemudian menjadi semakin bingung. [8] Dia seorang yang jujur dan mencari kebenaran dengan sebenar-benar pencarian. Semasa perdebatannya dengan Ahmad Deedat, banyak dia mengajukan kenyataan yang bernas dan positif, membuat ramai yang melihat perdebatan itu berharap agar Allah mengurniakannya hidayah untuk memasuki Islam. Allah itu Maha Mendengar.

            Penulisan dan kajian Gary Miller tulus dan telus, dan komentar-komentarnya positif, bahkan lebih baik daripada kebanyakan muslim lain yang menulis tentang al-quran. Dia menganggap al-quran sesuatu yang agung dan mencapai kesimpulan bahawa tidak mungkin ianya adalah tulisan makhluk.[9] Perkara pertama yang mengejutkan Prof Gary Miller ialah penggunaan bahasa dalam al-quran. Al-quran dengan terang mencabar orang-orang musyrikin untuk membuktikan bahawa Al-quran ini bukan daripada Allah.

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا

Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran? Kalau kiranya Al Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya. (An-nisa’ : 82)

Al-quran bahkan mencabar mereka untuk membuat satu surah yang menyerupai al-quran sekiranya mereka mampu.

وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ وَادْعُوا

شُهَدَاءَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

23. Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang Al Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surat (saja) yang seperti Al Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. (Al-Baqarah : 23) 

Menurut Prof Gary Miller, tiada satu bukupun di dunia ini yang mencabar pembacanya untuk mencari kesalahan di dalamnya. Penulis kebiasaannya akan meminta maaf di atas kekurangan dan ralat yang terdapat di dalam buku tulisannya, namun tiada seorang pun penulis dengan yakin mengatakan bukunya itu sempurna dan tidak mempunyai kesalahan walaupun satu. Tiada seorang pun penulis, tiada satu pun buku kecuali Al-quran. Al-quran dengan terang-benderang mencabar sesiapa yang mampu menunjukkan kesalahan dalam al-quran, namun sehingga kini, tiada seorang pun yang dapat melakukan perkara tersebut.[10]

Ada juga para Orientalis yang menuduh Al-Quran ini sebenarnya ilmu yang diturunkan oleh syaitan kepada Nabi Muhammad SAW. Prof Gary Miller mengatakan sekiranya benar, mengapa di dalam al-quran itu terdapat ayat seperti ini. 

وَمَا تَنَزَّلَتْ بِهِ الشَّيَاطِينُ

210. Dan Al Quran itu bukanlah dibawa turun oleh syaitan-syaitan. (Asy-syu’ara’ : 210)

Dan mengapa ayat yang ‘diturunkan oleh syaitan’ ini turut meminta dijauhkan daripada syaitan setiap kali ketika hendak membacanya?

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

98. Apabila kamu membaca Al-Quran hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk. (An-nahl : 98)

Tidakkah anda melihat? Adakah ini caranya syaitan menulis sesebuah kitab? Bagaimana Baginda boleh menulis Al-Quran kemudian memberitahu umatnya untuk meminta kepada Tuhan untuk perlindungan dari syaitan sebelum membaca Al Quran? Ini adalah ayat-ayat ajaib dalam kitab yang ajaib, dan ia mempunyai jawapan yang logik untuk orang-orang yang berfikir secara sambil lewa dan mengatakan bahawa ia adalah dari syaitan.

Dan di antara cerita-cerita yang membuatkan kekaguman Dr Miller adalah kisah Nabi (SAW) dengan Abu Lahab. Dr Miller berkata:

"Dia (Abu Lahab) yang sangat membenci Islam akan pergi kepada Nabi Muhammad SAW di mana sahaja baginda pergi untuk memalukan baginda. Jika dia melihat Nabi bercakap dengan orang yang tidak dikenali, dia akan menunggu sehingga baginda selesai dan kemudian bertanya kepada mereka: Apa yang Muhammad memberitahu anda? Jika baginda berkata ia putih maka ia adalah hitam dan jika beliau berkata ia adalah malam maka ia adalah siang. Dia bertujuan untuk memalsukan semua apa yang Nabi katakan dan untuk membuat orang yang curiga kepada baginda. Dan 10 tahun sebelum kematian Abu Lahab, sebuah surah telah diilhamkan kepada Nabi, yang dinamakan "Al-Masad". Surah ini menceritakan bahawa Abu Lahab akan masuk neraka, dalam erti kata lain, ia mengatakan bahawa Abu Lahab tidak akan memeluk agama Islam.

Selama 10 tahun, Abu Lahab boleh berkata: "Muhammad mengatakan bahawa saya tidak akan menjadi seorang Muslim dan saya akan pergi ke neraka, tetapi saya memberitahu anda sekarang bahawa saya mahu menukar kepada Islam dan menjadi seorang Muslim. Apa yang anda fikir mengenai Muhammad ini? Adakah dia (baginda s.a.w) mengatakan kebenaran atau tidak? Adakah surah ini datang dari Allah? Tetapi Abu Lahab tidak berbuat demikian yakni memeluk Islam walaupun dia mengingkari Nabi Muhammad SAW di dalam semua perkara, tetapi tidak dalam perkara ini ( kekafiran Abu Lahab di dalam surah Al Masad ). Dalam erti kata lain, baginda telah memberi Abu Lahab peluang untuk membuktikan baginda salah! Tetapi Abu Lahab tidak melakukan apa-apa sepanjang 10 tahun!

Dia tidak memeluk agama Islam dan tidak juga berpura-pura menjadi seorang Muslim. Sepanjang 10 tahun, dia mempunyai peluang untuk menghancurkan Islam dalam satu minit. Tetapi ini tidak berlaku kerana Al Quran bukanlah kata-kata Muhammad SAW, tetapi kata-kata Tuhan yang Maha Mengetahui apa yang tersembunyi dan Maha Mengetahui bahawa Abu Lahab tidak akan menjadi seorang Muslim.

“Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal” ( Al Masad: 1-5 )

Dr Miller berkata tentang ayat yang membuatkan dia kagum kepada Al Quran: “Salah satu keajaiban dalam Al-Quran adalah sesuatu yang mencabar masa depan dengan perkara-perkara yang manusia tidak boleh ramalkan dan "Ujian Pemalsuan" digunakan, ujian ini terdiri daripada mencari kesilapan sehingga perkara yang sedang diuji terbukti betul. Sebagai contoh, mari kita lihat apa kata al-Quran mengenai hubungan antara orang Islam dan Yahudi. Al-Quran mengatakan bahawa orang Yahudi adalah musuh utama bagi umat Islam dan ini adalah benar. Sehingga kini ,musuh utama umat Islam adalah orang-orang Yahudi.”

Dr Miller meneruskan: “Ini dianggap satu cabaran yang besar kerana orang-orang Yahudi mempunyai peluang untuk merosakkan Islam hanya dengan bergaul dengan orang Islam dengan cara yang mesra untuk beberapa tahun dan kemudian berkata: di sini kita bergaul dengan anda sebagai kawan dan Al-Quran mengatakan bahawa kita adalah musuh, Al-Quran ini salah! Tetapi ini tidak berlaku pada 1400 tahun! Dan, ia tidak akan berlaku kerana ini adalah firman dari Tuhan Yang Esa yang Maha Mengetahui bukannya kata-kata manusia.”

Dr Miller meneruskan: “Bolehkah anda melihat bagaimana ayat yang menceritakan akan permusuhan antara orang Islam dan orang-orang Yahudi merupakan satu cabaran kepada minda manusia?”

“Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya kami ini orang Nasrani". Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri. Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Quran) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata: "Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Quran dan kenabian Muhammad s. a. w.) Mengapa kami tidak akan beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang datang kepada kami, padahal kami sangat ingin agar Tuhan kami memasukkan kami ke dalam golongan orang-orang yang saleh?" (Al-Ma’idah : 82-84)

Ayat ini menyentuh hati Dr Miller kerana dia merupakan seorang Kristian tetapi apabila dia mengetahui kebenaran, dia beriman dan memeluk agama Islam. Semoga Allah merahmati beliau.[11]

49. Itu adalah di antara berita-berita penting tentang yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); tidak pernah kamu mengetahuinya dan tidak (pula) kaummu sebelum ini. Maka bersabarlah; sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (Hud : 49)

Beliau mengatakan tiada tulisan yang menggunakan gaya penulisan sedemikian rupa, yang mana ia memberi sang pembaca satu maklumat dan mengatakan bahawa ia adalah maklumat baru yang belum diketahui oleh sesiapapun. Sekiranya orang Makkah pada ketika itu, berpura-pura mengatakan mereka mengetahui ilmu tersebut, atau salah seorang ulama’ mengatakan ilmu ini telah diketahui, namun ini tidak terjadi sama sekali.

            Prof Gary Miller mengatakan terdapat satu seksyen dalam Ensiklopedia Katolik yang terkini yang bertajuk ‘Quran’. Dia mengatakan walau terdapat banyak kajian dan penyelidikan dilakukan, dan banyak cubaan untuk menyerang kemurnian Al-quran, tiada satu pun berjaya. Pihak gereja sendiri tidak berani mengutarakan teori yang tidak berasas tetapi tetap tidak dapat menerima tentang teori Muslim yang mengatakan bahawa Al-quran itu tanpa diragui lagi adalah kalimah Allah yang diturunkan kepada manusia melalui perantara Jibril as dan disampaikan oleh rasulNya, Nabi Muhammad SAW. Prof Gary Miller yang mengetahui kebenaran ini jujur pada dirinya sendiri dan memilih jalan yang betul. Semoga Allah merahmatinya dan sesiapa sahaja yang mencari kebenaran dan tidak dikaburi oleh sifat prejudis yang menghalang mereka untuk sampai kepada kebenaran itu sendiri.[12] Wallahu‘alam.

KAJIAN PROF GARY MILLER

            Selepas memeluk Islam pada 1987 dan menukar namanya kepada Abdul Ahad Omar, beliau terus mengkaji tentang al-quran dengan lebih mendalam lagi, dan menulis beberapa buku tentang kajiannya. Terdapat banyak kajian yang dilakukannya, antara yang terkenal sehingga hari ini ialah buku ‘The Amazing Quran’ or ‘The Stunning Quran’. Dalam buku ini, terdapat banyak hujah yang diutarakan untuk menjelaskan betapa agungnya Al-Quran ini, dan disokong dengan bukti-bukti yang menerangkannya dari segi saintifik.

BUKU “THE AMAZING QURAN

            Satu perkara yang mengejutkan orang bukan Islam yang meneliti al-Quran dengan teliti adalah bahawa Quran tidak seperti apa yang mereka harapkan. Apa yang mereka sangka adalah sebuah buku lama yang datang empat belas abad yang lalu, dari padang pasir Arab; dan mereka menjangkakan bahawa buku itu sepatutnya kelihatan seperti itu - sebuah buku lama dari padang pasir. Dan kemudian mereka mengetahui bahawa ia tidak menyerupai apa yang mereka harapkan sama sekali. Bahkan, salah satu perkara pertama tanggapan sesetengah orang adalah kerana ia merupakan buku lama yang berasal dari padang pasir, ia harus membincangkan tentang padang pasir. Al-Quran ada membicarakan tentang padang pasir - beberapa gambarannya tentang padang pasir; tetapi ia juga membincangkan tentang laut - bagaimana ia menjadi ribut di laut.[13]

           Pendekatan saintifik kepada Al-Quran

            Pendekatan saintifik dalam Al-Quran bukanlah sesuatu yang mustahil kerana Al-Quran menawarkan sesuatu yang tidak terdapat dalam kitab agama lain khasnya, dan agama lain, secara amnya. Inilah yang dikehendaki oleh para saintis. Hari ini, terdapat ramai orang yang mempunyai idea dan teori tentang bagaimana alam semesta berfungsi. Golongan ini terdapat di merata tempat, tetapi komuniti saintifis bahkan tidak mengambil peduli untuk mendengar hujah mereka. Ini kerana sejak permulaan abad ini, masyarakat saintifis ini meminta bukti untuk setiap ujikaji yang dijalankan. Mereka berkata, "Jika anda mempunyai teori, jangan persembahkan kepada kami melainkan jika anda membawa bersama teori itu cara untuk membuktikan sama ada anda salah atau tidak."

            Mereka mula mendengar teori Einstein hanya apabila beliau melepasi ujian ini. Dia datang dengan teori baru dan berkata, "Saya percaya alam semesta ini berfungsi seperti ini; dan di sini ada tiga cara untuk membuktikan adakah saya salah!" Oleh itu, masyarakat saintifis pun menguji teorinya dengan tiga ujikaji tersebut, dan dalam tempoh enam tahun ia telah melepasi ketiga-tiganya. Sudah tentu, ini tidak membuktikan bahawa dia hebat, tetapi ia membuktikan bahawa dia sepatutnya didengarkan kerana dia berkata, "Ini adalah idea saya; dan jika anda mahu cuba membuktikan saya salah, lakukan ini atau itu. "

            Inilah yang terdapat di dalam al-Quran, ujian pengesahan. Sesetengahnya ada telah berlaku, menunjukkan ianya telah terbukti benar, dan ada yang masih wujud hingga ke hari ini. Ia menyatakan, "Jika buku ini bukan agung seperti yang dikatakannya, maka apa yang perlu anda lakukan adalah ini atau ini atau ini untuk membuktikan bahawa ia adalah palsu." Sudah tentu, dalam 1400 tahun tidak ada yang dapat melakukan ‘Ini atau ini atau ini’ dan dengan itu ia masih dianggap benar dan sahih.

           Tanya Mereka yang Mempunyai Pengetahuan

            Perkara lain yang menarik yang terdapat di dalamnya ialah Al-Quran berulang kali memberi nasihat kepada pembaca. Al-Quran memberitahu pembaca tentang fakta-fakta yang berbeza dan kemudian memberikan nasihat: "Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang ini atau itu, atau jika anda meragui apa yang dikatakan, maka anda harus bertanya kepada orang-orang yang mempunyai pengetahuan." Ini juga merupakan sikap yang mengejutkan . Perkara ini tidak biasa untuk mempunyai buku yang berasal dari seseorang tanpa latihan dalam bidang geografi, botani, biologi, dan lain-lain, yang membincangkan subjek-subjek ini dan kemudian menasihati pembaca untuk bertanya kepada orang-orang yang berpengetahuan jika dia meragui apa-apa. Namun, dalam setiap zaman ada orang Islam yang telah mengikuti nasihat Quran dan membuat penemuan mengejutkan. Jika seseorang melihat karya-karya saintis Muslim berabad-abad yang lalu, seseorang akan mendapati mereka banyak memetik dari Al-Quran. Kerja-kerja ini menyatakan bahawa mereka melakukan penyelidikan di suatu tempat dan mencari sesuatu. Dan mereka menegaskan bahawa sebab mereka mengkaji dengan lebih mendalam lagi adalah kerana Al-Quran menunjuk mereka ke arah itu.

            Sebagai contoh, Al-Quran menyebut asal-usul manusia dan kemudian memberitahu pembaca, "Kajilah itu!". Ia memberikan pembaca petunjuk di mana hendak melihat dan kemudian menyatakan bahawa seseorang itu harus mengetahui lebih lanjut mengenainya. Inilah perkara yang umat Islam hari ini kelihatannya terlepas pandang - tetapi tidak selalu, seperti digambarkan dalam contoh berikut.

Embriologi

            Beberapa tahun yang lalu, sekumpulan lelaki di Riyadh, Arab Saudi mengumpul semua ayat dalam al-Quran yang membincangkan tentang embriologi – proses permulaan pembesaran manusia dalam rahim. Mereka berkata, "Inilah yang dikatakan Al-Quran. Adakah ini benar?" Seperti hal ini, mereka turut mengambil nasihat daripada Quran: "Bertanyalah kepada orang yang arif.", dalam hal ini yang pakar dalam embirologi. Mereka memilih seorang professor yang juga merupakan seorang bukan islam yang merupakan profesor embriologi di Universiti Toronto. Namanya adalah Keith Moore, dan dia adalah pengarang buku teks mengenai embriologi - pakar dunia mengenai subjek ini. Mereka menjemput beliau ke Riyadh dan berkata, "Ini adalah apa yang dikatakan Al-Quran tentang subjek anda. Betulkah? Apa yang boleh anda beritahu kami?”

            Sewaktu dia berada di Riyadh, mereka memberi setiap bantuan yang diperlukan dalam penterjemahan dan apa sahaja yang dia kehendaki. Dan dia sangat terkejut dengan apa yang dia dapati sehingga dia memperbaiki isi kandungan buku teksnya. Dalam edisi kedua bukunya, Before We Are Born,  di bahagian tentang sejarah embriologi, dia memasukkan beberapa bahan yang tidak ada dalam edisi pertama kerana apa yang dia dapati dalam Al-Quran itu sangat maju berbanding zaman ketika ia ditulis dan mereka yang percaya kepada Al-Quran tahu apa yang orang lain tidak tahu.

            Saya berpeluang menemubual Dr Keith Moore dalam salah satu rancangan televisyen, dan kami banyak bercakap tentang ini – yang mana turut dibantu dengan slaid dan sebagainya. Beliau menyebut bahawa beberapa perkara yang disebutkan oleh Al-Quran tentang pertumbuhan manusia tidak diketahui oleh masyarakat dunia sehinggalah tiga puluh tahun yang lalu. Malah, beliau mengatakan bahawa satu perkara khususnya - perihal Al-Quran tentang manusia sebagai "gumpalan seperti lintah" ('alaqah) [Ghafir 40:67] – adalah perkara baru kepadanya; tetapi apabila dia menyemaknya, dia mendapati bahawa ia adalah benar, dan oleh itu dia menambah maklumat itu ke dalam buku beliau. Beliau berkata, "Tidak pernah terlintas di benak saya selama ini.," dan dia pergi ke jabatan zoologi dan meminta gambar lintah. Dia mendapati bahawa ia kelihatan sama seperti embrio manusia, dan dia kemudian memutuskan untuk memasukkan kedua-dua gambar dalam salah satu buku teksnya.

            Walaupun contoh manusia yang meneliti maklumat yang terkandung di dalam Quran berkaitan dengan orang bukan Islam, ia masih sah kerana dia adalah salah seorang yang berpengetahuan dalam subjek yang diteliti. Sekiranya orang awam mendakwa bahawa apa yang dikatakan oleh Al-Quran tentang embriologi adalah benar, maka seseorang itu tidak semestinya harus menerima perkataannya. Walau bagaimanapun, kerana kedudukan tinggi, menghormati, dan menghargai manusia memberi para sarjana, secara semulajadi menganggap bahawa jika mereka menyelidik subjek dan sampai pada kesimpulan berdasarkan penyelidikan itu, maka kesimpulannya sah.

Reaksi Skeptik

            Dr. Moore juga menulis sebuah buku tentang embriologi klinikal, dan apabila dia menyampaikan maklumat ini di Toronto, ia menimbulakn sedikit kekecohan di seluruh Kanada. Di halaman depan beberapa akhbar di seluruh Kanada, dan beberapa berita utama agak lucu. Contohnya, satu tajuk dibaca: "MAKLUMAT MENGEJUTKAN DITEMUI DI DALAM SATU BUKU AGAMA PURBA!”. Jelas dari contoh ini bahawa orang tidak memahami dengan jelas tentang apakah semua ini. Seorang wartawan akhbar bahkan bertanya kepada Profesor Moore, "Tidakkah anda fikir mungkin orang-orang Arab mungkin mengetahui tentang perkara-perkara ini - gambaran embrio, penampilannya dan bagaimana ia berubah dan membesar? Mungkin mereka bukan saintis, mungkin mereka melakukan beberapa pembedahan kasar pada orang mereka sendiri – membedah dan meneliti benda-benda ini." Profesor segera menunjukkan kepadanya bahawa wartawan itu telah tertinggal satu point yang sangat penting - semua slaid embrio yang telah ditunjukkan dalam filem itu datang dari gambar yang ditangkap melalui mikroskop. Beliau berkata, “Tidak kira jika seseorang telah cuba menemui embriologi empat belas abad yang lalu, mereka tetap tidak dapat melihatnya!”

            Semua keterangan dalam al-Quran mengenai keadaan embrio adalah perkara yang terlalu kecil untuk dilihat dengan mata kasar; Oleh itu, seseorang memerlukan mikroskop untuk melihatnya. Oleh kerana peralatan tersebut hanya dicipta sekitar dua ratus tahun yang lalu, Dr Moore menafikan, “Mungkin empat belas abad yang lalu seseorang diam-diam mempunyai mikroskop dan melakukan penyelidikan ini, tidak membuat kesilapan di mana-mana. Kemudian dia mengajar Muhammad (ﷺ) dan meyakinkannya untuk meletakkan maklumat ini dalam bukunya. Kemudian dia memusnahkan peralatannya dan menyimpannya sebagai satu rahsia selama-lamanya. Adakah anda percaya itu? Jangan percaya melainkan anda membawa sebarang bukti sebab itu merupak teori yang sangat karut.” Kemudian ketika ditanya, “Bagaimana anda menjelaskan bagimana maklumat ini terdapat dalam Quran?” Jawapan Dr. Moore adalah, “Ini kerana ianya daripada Pencipta itu sendiri.” 

Geologi

            Salah seorang rakan sejawat Profesor Moore, Marshall Johnson, terlibat dengan geologi di University Toronto. Dia menjadi sangat berminat dengan hakikat bahawa pernyataan Al-Quran tentang embriologi adalah sangat tepat. Oleh itu, dia meminta umat Islam untuk mengumpul semua yang terkandung dalam al-Qur'an yang berkaitan dengan kepakarannya iaitu geologi. Sekali lagi orang ramai sangat terkejut dengan penemuan-penemuan yang terbaru. Oleh kerana terdapat banyak subjek yang dibincangkan dalam Al-Quran, ia tentu memerlukan sejumlah besar masa untuk membincangkan setiap subjek. Lebih daripada cukup untuk tujuan perbincangan ini bahawa Al-Quran membuat pernyataan yang sangat jelas dan ringkas tentang pelbagai subjek sambil memberi nasihat kepada pembaca untuk mengesahkan kesahihan pernyataan-pernyataan ini dengan penyelidikan oleh pakar dalam subjek tersebut. Dan seperti yang digambarkan oleh contoh-contoh embriologi dan geologi tadi, jelas Al-Quran tidak diragui kesahihannya.

Pekerja Marin

            Beberapa tahun lalu, di Toronto, hidup seorang pekerja marin yang bergantung hidup pada laut. Seorang muslim memberinya sebuah terjemahan Al-Quran untuk dibacanya. Sang pekerja tadi langsung tidak mengetahui tentang sejarah Islam namun berminat untuk membaca al-Quran. Apabila selesai membacanya, dia mengembalikan al-Quran tersebut kepada sahabat muslimnya dan bertanya, “Muhammad ini, adakah dia seorang pelaya?”. Dia terkesima dengan betapa tepatnya al-Quran menerangkan tentang ribut di laut. Ketika dia diberitahu, “Tidak, bahkan Muhammad ini tinggal di tengah-tengah gurun”, dan itu sahaja cukup untuk membuat dia memeluk islam pada saat itu juga. Dia sangat kagum dengan al-Quran kerana dia telah mengalami ribut di lautan dan dia tahu siapa sahaja yang menulis penerangan itu pasti pernah mengalami hal yang sama. Penerangan ‘yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan’ (Surah An-Nur 24:40), bukanlah bayangan seseorang tentang ribut di lautan tetapi oleh seseorang yang benar-benar tahu bagaimana keadaan itu sebenarnya. Ini adalah salah satu contoh menunjukkan al-Quran tidak terikat dengan mana-mana tempat dan masa, dan sudah tentu, penjelasan saintifik di dalamnya menunjukkan ianya bukan ditulis oleh seorang lelaki yang berasal daripada gurun 14 abad yang lalu.

Ini dan banyak lagi penjelasan tentang mukjizat al-Quran di dalam buku Dr Gary Miller ini.

PENUTUP

            Al-Quran sentiasa benar, sentiasa seiring dengan zaman tidak kira semaju mana pun teknologi yang dunia masa kini capai. Setiap satu teori atau penemuan yang ditemui oleh saintis kebelakangan ini, telah Allah turunkan di dalam kalamNya. Kita hanya perlu meneliti dengan lebih mendalam dan jitu lagi. Al-Quran bukan sahaja meliputi ilmu sains, namun juga semua jenis bidang ilmu yang terdapat manfaat padanya dan mampu mendekatkan lagi kita kepada Allah Subhanahu wa Taala. Wallahu‘alam.


RUJUKAN

 Al-Sakkar. M. M. (2004). Dr. Abdulwahid Omar - Gary Miller. Dipetik daripada http://en.themwl.org/hence-they-embraced-islam-dr-abdulwahid-omar-gary-miller

Dadach. Z. E. (2015 Nov). SCIENTIFIC FACTS IN QURAN. Dipetik daripada https://www.researchgate.net/publication/292970930_SCIENTIFIC_FACTS_IN_QURAN

Eduislam (2019, Februari 03). Dr Gary Miller, The Amazing Quran & His Journey To Islam (blog post). Dipetik daripada https://eduislamorg.blogspot.com/2019/01/Dr-Gary-Miller-The-Amazing-Quran.html

Gary Miller. Dipetik daripada https://themindfulmuslim.com/gary-miller

Gary Miller: The Man Who Challenged the Qur’an (2014, September 14). Dipetik daripada http://www.islamforchristians.com/gary-miller-man-challenged-quran/

HR Muslim. Hadis Gerhana Dan Wafatnya Ibrahim Ibn Muhammad. Jurnal Peradaban dan Hukum Islam. Vol.1 No.1. (58)

Miller, G. (1992). The Amazing Quran. Baltimore : Abul-Qasim Publishing House.

Mohd Noor, A. (2013, Mei 14). Kisah Dr Gary Miller Masuk Islam (Blog post). Dipetik daripada http://tranungkiteoffline.blogspot.com/2013/05/kisah-dr-gary-miller-masuk-islam.html

The Mathematician Who Challenged Quran, Professor Gary Miller's Journey to Islam. (2017, January 06). Dipetik daripada https://aboutislam.net/reading-islam/my-journey-to-islam/the-mathematician-who-challenged-quran/

(Disclaimer : This is for student research purpose only.)

[1] Dadach. Z. E. (2015 Nov). SCIENTIFIC FACTS IN QURAN. Dipetik daripada https://www.researchgate.net/publication/292970930_SCIENTIFIC_FACTS_IN_QURAN

[2] Gary Miller. Dipetik daripada https://themindfulmuslim.com/gary-miller

[3] Al-Sakkar. M. M. (2004). Dr. Abdulwahid Omar - Gary Miller. Dipetik daripada http://en.themwl.org/hence-they-embraced-islam-dr-abdulwahid-omar-gary-miller

[4] Al-Sakkar. M. M. (2004). Dr. Abdulwahid Omar - Gary Miller. Dipetik daripada http://en.themwl.org/hence-they-embraced-islam-dr-abdulwahid-omar-gary-miller

[5] Al-Sakkar. M. M. (2004). Dr. Abdulwahid Omar - Gary Miller. Dipetik daripada http://en.themwl.org/hence-they-embraced-islam-dr-abdulwahid-omar-gary-miller

[6] HR Muslim. Hadis Gerhana Dan Wafatnya Ibrahim Ibn Muhammad. Jurnal Peradaban dan Hukum Islam. Vol.1 No.1. (58)

[7] Al-Sakkar. M. M. (2004). Dr. Abdulwahid Omar - Gary Miller. Dipetik daripada http://en.themwl.org/hence-they-embraced-islam-dr-abdulwahid-omar-gary-miller

[8] Eduislam (2019, Februari 03). Dr Gary Miller, The Amazing Quran & His Journey To Islam (blog post). Dipetik daripada https://eduislamorg.blogspot.com/2019/01/Dr-Gary-Miller-The-Amazing-Quran.html

[9] Gary Miller: The Man Who Challenged the Qur’an (2014, September 14). Dipetik daripada http://www.islamforchristians.com/gary-miller-man-challenged-quran/

[10] The Mathematician Who Challenged Quran, Professor Gary Miller's Journey to Islam. (2017, January 06). Dipetik daripada https://aboutislam.net/reading-islam/my-journey-to-islam/the-mathematician-who-challenged-quran/

[11] Mohd Noor, A. (2013, Mei 14). Kisah Dr Gary Miller Masuk Islam (Blog post). Dipetik daripada http://tranungkiteoffline.blogspot.com/2013/05/kisah-dr-gary-miller-masuk-islam.html

[12] The Mathematician Who Challenged Quran, Professor Gary Miller's Journey to Islam. (2017, January 06). Dipetik daripada https://aboutislam.net/reading-islam/my-journey-to-islam/the-mathematician-who-challenged-quran/

0 comments:

Post a Comment