Sunday, December 8, 2013

AKU, BUKU DAN CINTA

seorang pujangga pernah berkata: " pelajarilah ilmu, nescaya ia akan mengawalmu dan membimbingmu di kala kecil. dan, di kala tua nanti, ia akan mengangkatmu dan menjadikanmu seorang pemimpin. ilmu juga boleh memperbaiki kesilapan dan kesalahan, menundukkan musuh dan orang-orang yang iri kepadamu. Ilmu dapat meluruskan keterpesongan dan kemiringan, membangkitkan semangat dan harapan". Ilmu dan akal adalah kebahagiaan dan kesejahteraan bagi seseorang, meskipun ia hanya memiliki sedikit harta dan keadaan yang begitu sempit. sedangkan kebodohan, ia adalah kemiskinan dan kesengsaraan bagi seseorang, meskipun ia memiliki banyak harta dan keadaan yang begitu lapang. Kebahagiaan tidak dapat dicapai dengan banyaknya harta. Ramai sekali orang kaya namun menderita dan ramai sekali orang miskin namun bahagia. Bagaiamana mungkin orang kaya yang bodoh boleh bahagia sedangkan kebodohannya membuatkannya rendah di mata orang lain? dan bagaimana mungkin orang pintar yang miskin boleh menderita sedangkan ilmu yang ia miliki selalu mengangkat martabatnya? Ada sebuah kata hikmah berbunyi : " Betapa ramai orang kecil yang dimuliakan oleh ilmunya dan betapa ramai pula orang besar yang direndahkan oleh kebodohannya". 'Abdullah bin Mu'az pernah berkata : " Kenikmatan orang bodoh laksana taman atas tempat sampah." Ada lagi perkataan orang bijak , iaitu " Semakin bertambah kenikmatan orang bodoh, semakin bertambah pula keburukannya."

   Buku adalah sahabat terbaik di antara semua makhluk. kenikmatan terbesar adalah ketika kita boleh membaca hasil pemikiran orang lain. Orang yang terbiasa membaca dan menulis, akan diminta petuanya. Orang yang terbiasa menyelak-nyelak halaman buku, akan mendapat kemuliaan. Setiap orang yang membuka buku, pastilah akan mendapat kebaikan. Harta yang menguntungkan, terdapat pada lembaran hikmah yang ada di dalam buku. Simpanlah huruf-huruf yang mengandung ilmu itu di dalam hatimu. Tulislah kalimat-kalimat yang penuh pengetahuan untuk dapat melihat kekuasaan Allah di langit dan di bumi. Di saat engkau berduaan dengan sebuah buku, maka zaman pun menjadi singkat. Masa akan hadir di depanmu. Pelajaran-pelajaran akan datang mendekatimu. Nasihat yang menyentuh dan pengalaman-pengalaman akan datang untuk menambah semangatmu. Keajaiban akan datang dan membuatmu kagum. Perahlah ilmu dari dalam buku. Di dalamnya terdapat istana pemikiran. Pemilik buku, lebih kaya daripada Qarun, lebih kuat dari tentera al-nu'man, lebih baik keadaannya daripada al-Baramikah ( para menteri yang ada pada zaman khalifah harun ar-rasyid). Orang yang dekat dengan kertas, lebih baik hidupnya daripada seorang pemabuk. Orang yang mempelajari sejarah, lebih mulia daripada orang yang hanya mendengarkan irama. Berteman dengan buku boleh memelihara seseorang daripada kesesatan para penguasa, boleh melindunginya daripada bicara kosong orang-orang yang zalim. Berteman dengan buku juga boleh menjagamu daripada celaan orang yang dengki. Oleh itu, saya mengajak kepada anda untuk lebih banyak membaca, banyak bermutala'ah, banyak membaca buku-buku karangan para ulamak. Apalah ertinya hidup ini bila kita malas membaca!  Apalah gunanya umur bila kita malas bermutala'ah? Elokkah hidup ini tanpa ada buku? Tengoklah sejarah masa lampau. Berapa banyak negeri yang telah hancur, berapa banyak raja yang telah binasa, berapa banyak bangunan yang hanya tinggal runtuhannya sahaja? Semuanya kini telah sirna. Tetapi, cubalah lihat ilmu! Adakah ia binasa bersama masa? Sampai sekarang, buku-buku yang mengandungi ilmu tetap utuh. Tengoklah para nabi, adakah mereka mewariskan dinar dan dirham? Tidak. Mereka hanya mewariskan ilmu. Sesiapa yang mahu mengambilnya, maka berbahagialah dalam hidupnya.

0 comments:

Post a Comment