Monday, August 11, 2014

Ketika cinta berbuah syurga.


-kisah ini adalah nukilan Habiburrahman El-shirazy dalam kedua-dua buku karangannya, Ketika Cinta Berbuah Syurga dan Di atas Sajadah Cinta. Melihat beliau mengulang kisah ini dalam kedua-dua bukunya membuat saya berfikir betapa beliau suka akan cerita ini, yang turut saya kongsi kesukaan itu, dan dengan itu saya turut ingin berkongsi kisah ini supaya kesukaan dan teladan cerita ini semakin luas tersebar.
                Di Tanah Kurdistan, ada seorang raja yang adil dan soleh. Dia memiliki seorang anak lelaki yang tampan, cerdas dan berani. Saat-saat yang paling menyenangkan bagi sang raja adalah ketika dia mengajari anaknya itu membaca Al-quran, lalu menceritakan kepadanya kisah-kisah kepahlawanan para panglima dan tenteranya di medan pertempuran. Anak raja bernama Said itu sangat gembira mendengar kisah-kisah dari ayahnya. Si kecil Said akan merasa geram, jika di tengah-tengah ayahnya bercerita, tiba-tiba ada orang yang memutuskannya. Terkadang ketika sedang asyik mendengar cerita ayahnya, tiba-tiba pengawal masuk memberitahukan ada tetamu penting yang harus di temui. Sang raja tahu apa yang dirasakan anaknya. Maka dia memberi nasihat kepada anaknya:
“Said anakku, sudah saatnya kau mencari teman sejati yang setia dalam suka dan dukamu. Teman yang baik yang membantumu menjadi orang baik. Teman sejati yang boleh kau ajak bercinta untuk syurga.”
Said tersentak mendengar perkataan ayahnya.
“Apa maksud ayah dengan teman yang boleh diajak bercinta untuk syurga?” tanyanya dengan nada penasaran.
“Adalah teman sejati yang dia benar-benar mahu berteman denganmu bukan kerana darjatmu tapi kerana kemurnian cinta itu sendiri yang tercipta dari keikhlasan hati. Dia mencintaimu kerana Allah. Dan dengan dasar itu, kau pun boleh mencintainya dengan penuh keihklasan kerana Allah. Kekuatan cinta kalian akan melahirkan kekuatan dahsyat yang akan membawa manfaat dan kebaikan. Kekuatan cinta itu juga akan bersinar dan membawa kalian masuk syurga.”
“Bagaimana caranya mecari teman seperti itu, ayah?” Tanya Said.
Sang raja menjawab, “Kamu harus menguji orang yang hendak kau jadikan teman. Ada sebuah cara menarik untuk menguji mereka. Undanglah sesiapa yang kau anggap sesuai menjadi temanmu untuk makan pagi di sini, di rumah kita. Jika sudah sampai di sini, tangguhlah dan perlamakanlah waktu penyajian makanan. Biarkan mereka semakin lapar. Lihatlah apa yang mereka kemudian perbuat. Saat itu rebuslah tiga biji telur. Jika ia tetap bersabar, maka hidangkanlah tiga telur itu padanya, dan lihatlah apa yang mereka lakukan! Itu cara yang paling mudah bagimu, syukur jika kau boleh mengetahui perilakunya lebih dari itu.”
                Said gembira sekali mendengar nasihat ayahnya. Ia pun mempraktikkan cara mencari teman sejati yang cukup aneh itu. Mula-mula ia mengundang anak-anak para pembesar kerajaan  satu persatu. Sebahagian besar daripada mereka marah-marah, kerana hidangannya tidak keluar-keluar. Bahkan ada yang pulang tanpa minta diri dengan hati yang kesal. Ada yang memukul-mukul meja. Ada yang melontarkan kata-kata tidak terpuji, memaki-maki kerana makanannya lama sekali keluarnya.
                Di antara teman anak raja itu ada yang bernama Adil, seorang anak menteri. Said melihat seperti Adil anak yang baik hati dan setia. Maka ia ingin mengujinya. Diundanglah Adil untuk makan pagi. Adil memang lebih sabar dibandingkan anak-anak sebelumnya. Ia menunggu keluarnya hidangan dengan setia. Setelah dirasakan lama, Said pun mengeluarkan sebuah piring berisi tiga biji telur rebus. Melihat itu, Adil berkata keras : “Hanya ini sarapan kita? Ini tidak cukup untuk mengisi perutku!”
                Adil tidak mahu menyentuh telur itu. Ia pergi begitu sahaja meninggalkan Said sendirian. Said diam saja, ia tidak perlu minta maaf pada Adil yang meremehkan makanan yang telah dia rebus dengan kedua tangannya. Ia mengerti bahawa Adil tidak lapang dada dan tidak sesuai menjadi teman sejatinya.
                Hari berikutnya ia mengundang anak saudagar terkaya. Tentu saja anak saudagar itu sangat senang mendapat undangan makan pagi dari anak raja. Malam harinya dia sengaja tidak makan dan melaparkan perutnya agar paginya dapat makan banyak. Ia membayangkan makanan anak raja pasti enak dan lazat.
                Pagi-pagi lagi anak saudagar itu telah datang menemui Said. Seperti anak-anak sebelumnya, ia harus menunggu masa yang lama sampai makanan keluar. Akhirnya keluarlah piring dengan tiga biji telur rebus.
“ini makanannya, saya ke dalam dulu mengambil air minum.” Said seraya meletakkan piring itu di atas meja.
Lalu ia masuk ke dalam.
Tanpa menunggu lagi, anak saudagar itu terus melahap satu persatu telur itu. Tak lama kemudian, Said keluar membawa dua gelas air putih. Ia melihat ke meja, ternyata tiga telur itu telah lenyap. Dia terkejut.
“Mana telurnya?” tanyanya pada anak saudagar.
“Telah aku makan.”
“Semuanya?!”
“Ya, habis aku lapar sekali.”
                Melihat hal itu, Said terus tahu bahawa anak saudagar itu juga tidak boleh dijadikan teman setia. Ia tidak setia. Tidak boleh merasakan suka dan duka bersama. Kerana sesungguhnya Said juga belum makan apa-apa.
                Said merasa geram dengan sikap anak-anak di sekitar istana. Mereka semua mementingkan diri sendiri. Tidak setia kawan. Mereka tidak layak dijadikan teman sejatinya. Akhirnya ia meminta izin kepada ayahnya untuk pergi mencari teman sejati.
                Mulailah Said mengembara melewati hutan, ladang, sawah dan kampung-kampung untuk mencari seorang teman yang baik. Sampai akhirnya, di suatu hari yang cerah, ia bertemu dengan anak seorang pencari kayu yang berpakaian sederhana. Anak itu sedang memikul kayu bakar. Said mengikutinya secara diam-diam sampai anak itu tiba di pondoknya. Rumah dan pakaian anak itu menunjukkan ia sangat msikin. Namun wajah dan sinar matanya memancarkan tanda kecerdasan dan kebaikan hati. Anak itu mengambil air wudhu’ lalu solat dua rakaat. Said memerhatikannya dari balik rumpun pepohonan. Selesai solat, Said datang menyapa:
“Kawan, kenalkan namaku Said! Kalau boleh tahu, namamu siapa dan tadi kau solat apa?”
“Namaku Abdullah. Tadi itu solat dhuha.”
Lalu Said meminta agar anak itu bersedia bermain-main dengannya dan menjadi temannya. Namun Abdullah menjawab,: “  Ku kira kita tidak sesuai menjadi teman. Kau anak orang kaya, malah mungkin anak bangsawan. Sedangkan aku anak orang miskin. Anak seorang pencari kayu bakar.”
Said menyahut: “ Tidak baik kau mengatakan begitu. Kenapa kau membeza-bezakan orang? Semua adalah hamba Allah. Semuanya sama, hanya taqwa yang membuat orang mulia di sisi Allah. Apakah aku kelihatan seperti anak yang jahat sehingga kau tidak mahu berteman denganku? Kenapa tidak kita cuba beberapa waktu dulu. Nanti kau boleh menilai aku sesuai atau tidak menjadi temanmu.”
“Baiklah kalau begitu, kita berteman dengan syarat hak dan kewajipan kita sama sebagai teman yang seia sekata.”
                Said menyepakati syarat anak pencari kayu itu. Sejak hari itu, mereka bermain bersama. Pergi ke hutan bersama. Memancing bersama. Berburu kelinci bersama. Anak tukang kayu itu mengajarinya berenang di sungai. Mengajarinya menggunakan panah. Juga mengajarinya memanjat pohon di hutan. Said gembira sekali berteman dengan anak yang cerdas, rendah hati, lapang dada dan setia. Akhirnya ia kembali ke istana dengan hati yang gembira.
                Hari berikutnya, anak raja itu berjumpa lagi dengan teman barunya. Anak pencari  kayu itu terus mengajaknya makan di pondoknya. Dalam hati Said merasa kalah, sebab sebelum ia mengundangnya makan, ia telah diundang terlebih dahulu. Dalam pondok mereka makan seadanya. Sepotong roti, garam dan air putih. Namun Said makan dengan lahap sekali. Ingin sekali rasanya ia minta tambah kalau tidak mengingat siapa tahu anak pencari kayu itu sedang mengujinya. Kerana itu Said merasa cukup dengan apa yang diberikan kepadanya. Selesai makan, Said mengucapkan Hamdalah dan tersenyum. Setelah itu, mereka kembali bermain, dan Said banyak menemukan hal-hal yang baru di hutan yang tidak ia dapatkan di dalam istana. Ia diajari temannya itu mengenali jenis dedaunan dan buah-buahan di hutan. Mana daun dan buah yang boleh di makan, yang boleh dijadikan ubat dan yang beracun.
“ Dengan mengenal baik jenis buah dan dedaunan di hutan, kita tidak akan susah jika suatu hari nanti tersesat. Sebab, persediaan makanan ada di sekitar kita. Inilah keagungan Allah.” Kata anak pencari kayu.
                Seketika itu Said tahu bahawa ilmu tidak hanya dia perolehi di madrasah seperti yang ada di ibu kota kerajaan sahaja. Ilmu ada di mana-mana. Bahkan ada di hutan sekalipun. Hari itu Said banyak mendapatkan pengalaman berharga.
                Tatkala matahari sudah condong ke barat, Said minta diri pada sahabatnya untuk pulang. Tidak lupa Said mengundangnya makan di rumahnya besok pagi. Ia memberikan secarik kertas pada temannya itu.
“Pergilah ke ibu kota, berikan kertas ini pada tentera yang kau temui di sana. Ia akan menghantarkanmu ke rumahku.” Kata Said sambil tersenyum.
“In shaa Allah aku akan datang.” Jawab anak pencari kayu.
                Pagi harinya, anak pencari kayu itu sampai juga ke istana. Ia tidak menyangka sama sekali kalau Said adalah anak raja. Pertama ia ragu untuk masuk istana, tapi mengingatkan kebaikan dan kerendahan hati Said, ia berani masuk juga. Said menyambutnya dengan mesra dan senyum gembira. Seperti anak-anak sebelumnya yang telah hadir di ruang makan itu, Said pun menguji temannya ini. Ia membiarkannya menunggu lama sekali. Namun, anak pencari kayu itu sudah terbiasa lapar. Bahkan pernah ia tidak makan selama tiga hari. Atau kadang-kadang makan daun-daun mentah sahaja. Selama menunggu, ia tidak memikirkan makanan sama sekali. Ia hanya berfikir seandainya semua anak bangsawan boleh sebaik anak raja ini, tentu dunia ini akan tenteram. Selama ini ia mendengar bahawa anak-anak pembesar kerajaan suka membuat huru-hara. Tapi ia menemukan seorang anak raja yang santun dan soleh.
Akhirnya keluarlah tiga butir telur masak.
Said mempersilakan temannya untuk memulai makan. Anak pencari kayu itu mengambil satu, lalu mengupas kulitnya perlahan-lahan. Sementara Said mengupasnya dengan cepat dan menyantapnya. Lalu dengan sengaja Said mengambil telur yang ketiga, mengupasnya dengan cepat dan turut melahapnya. Temannya selesai mengupas telur. Said ingin melihat apa yang akan dilakukan temannya dengan sebutir telur itu, apakah akan dimakannya sendiri atau…?
Anak miskin itu mengambil pisau yang ada berdekatan di situ, lalu membelah telur itu menjadi dua. Yang satu ia pegang, yang satunya diberi pada Said. Tak ayal lagi, Said menangis terharu. Said lalu memeluk anak pencari kayu bakar itu erat-erat seraya berkata:
“Engkaulah teman sejatiku! Engkaulah teman sejatiku! Engkau temanku masuk syurga!”
                Sejak itu keduanya berteman dan bersahabat dengan sangat akrabnya. Persahabatan mereka melebihi saudara kandung. Mereka saling mencintai dan saling menghormati kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kerana kekuatan cinta itu mereka bahkan sempat bertahun-tahun mengembara bersama untuk belajar dan berguru pada para ulama yang tersebar di Turki, di Syiria, di Iraq, di Mesir dan di Yaman.

                Setelah berganti bulan dan tahun, keduanya akhirnya tumbuh dewasa. Raja yang adil, ayah Said akhirnya meninggal dunia. Said diangkat menjadi raja menggantikan ayahnya. Menteri yang pertama dipilih oleh Said adalah Abdullah, anak pencari kayu itu. Abdullah pun benar-benar menjadi teman seperjuangan dan penasihat raja yang tiada duanya. Meskipun setelah menjadi raja dan menteri, keduanya masih sering melakukan solat tahajjud dan membaca Al-quran bersama. Kecerdasan dan kematangan jiwa keduanya mampu membawa kerajaan itu maju, makmur dan jaya. Baldatun thayyibatun wa Rabbun Ghafiir. 

0 comments:

Post a Comment