Wednesday, July 1, 2020

SLUMP

Bismillah.

            Setiap kali mahu menaip, pasti ada sahaja yang menghalang. Tidak kira sama ada benak yang tiba-tiba membeku atau tangan yang tiba-tiba menjadi kaku. Tidak sedar, perlahan-lahan buku ditutup. Perlahan-lahan halaman laptop ditukar ke benda lain. Terlalu banyak benda lain yang boleh menghilangkan fokus, terutamanya smart gadget nowadays. Bila niat di awal pagi hendak menulis, tetapi tangan secara automatik akan mencapai telefon pintar dan semua akaun media sosial dibuka satu persatu, membuat terlupa niat asalnya. Semangat membuka laptop, katanya mahu menambah sehelai dua draft cerita yang terbengkalai, tetapi yang dibuka adalah drama atau klip-klip lagu. Aduhai!

            Alasan diri ada sahaja aral melintang. Tiada mood, cuaca tidak sesuai (bagi aku ini sangat mempengaruhi), tiada peralatan, tiada tempat yang kena di hati. Ada sahaja. Benarlah kata pepatah, ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Akhirnya putus asa dengan diri sendiri. Umpama putus asa dengan segala benda lain di dunia ini. Tidak berguna. Tidak ke mana-mana. Tidak melangkah. Tiada hala tuju. Namun, tersentak seketika kemudian.

            Allah tidak pernah putus asa terhadap hambaNya yang sentiasa ingat untuk kembali kepadaNya. Nabi Muhammad SAW juga tidak pernah berputus asa dalam dakwahnya mengajak umat manusia kepada kebenaran. Putus asa dan perasaan sedih atau down itu normal. Apatah lagi bagi seorang perempuan. Tapi, ingat, Allah sentiasa ada. Di sana menunggu engkau menadah tangan, tidak kiralah untuk meluah atau meminta atau sekadar ingin menangis. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

            Mintalah dengan Allah, semoga diringankan tangan untuk menulis, dimudahkan untuk mengeluarkan idea-idea dalam kepala ke atas pena (tidak kira analog atau digital). Dan dikabulkan doa-doa yang dilafaz dan tidak terlafaz. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang.


0 comments:

Post a Comment